
PENAMPANG: Nyawa lebih 80 penduduk di Kampung Sogumau Madsiang, Jalan Penampang-Tambunan, ibarat “telur di hujung tanduk” selepas kawasan itu dilanda dua kejadian tanah runtuh berikutan hujan berterusan lebih seminggu di daerah ini.
Mereka terdiri daripada 15 keluarga yang membina rumah di tepi jalan raya berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu.
Kejadian pertama minggu lalu berlaku di lereng bukit yang sama namun tidak menjejaskan rumah penduduk, sebaliknya hanya menutup laluan jalan raya.
Timbunan berjaya dibersihkan dalam beberapa jam untuk membolehkan kenderaan dari kedua-dua arah Penampang dan Tambunan kembali melalui jalan berkenaan.
Namun, dalam kejadian kedua sekitar jam 1.30 pagi Rabu, tiga rumah musnah selepas tanah bergerak menurun perlahan kira-kira 10 kaki dari struktur asal.
Pemilik tanah, Doraly John, 40, berkata mereka terdengar bunyi pelik seakan keretakan sebelum rumah tiba-tiba bergerak seperti dihanyutkan arus dari bawah.
“Ketika itu saya bersama beberapa penghuni lelaki berada di atas jalan dalam keadaan berjaga-jaga. Menyedari ada pergerakan, kami segera mengeluarkan ahli keluarga dari dalam rumah.
“Tiada kanak-kanak dalam rumah kerana sejak bencana mula, kami arahkan mereka tinggal sementara dengan keluarga di sekitar daerah ini,” katanya ketika ditemui Harian Ekspres, Khamis.
Katanya, selain rumah, dua kereta turut musnah dalam kejadian itu, dengan anggaran kerugian mencecah RM200,000 termasuk nilai rumah dan barang yang rosak.
Seorang lagi mangsa, Maxwell Beneruing, berkata rumah konkrit miliknya mula bergoyang dan meretak. Menurutnya, tanah bergerak perlahan tanpa mengeluarkan bunyi kuat.
Tiga rumah tersebut dibina berhampiran antara satu sama lain, dan melihat keadaan tanah yang mendap serta kerosakan kediaman, penduduk menyedari ia tidak lagi selamat didiami.
“Kami tidak boleh lagi membina rumah di sini kerana benar-benar tidak selamat. Kami hanya berharap kerajaan dapat membantu menyediakan penempatan sementara,” kata Doraly.
Beliau menambah, mereka antara 15 keluarga yang tinggal di tepi bukit itu dan bencana terbaharu membuktikan bahawa tinggal di kawasan curam sangat membahayakan nyawa.
Menjawab mengapa mereka membina di kawasan berisiko runtuh, Doraly berkata: “Kami terdesak kerana tiada tempat lain untuk membina rumah. Kami sudah lama memohon, tetapi diberitahu tiada tanah kosong di kampung ini.”Sementara itu, seorang penduduk, Helvert Jaimol, mendakwa runtuhan mungkin dapat dielakkan jika pihak berkuasa menyelenggara jalan dengan menyediakan parit selepas kejadian pertama.
Mereka mendakwa, aliran air deras dari kawasan mata air di atas bukit melimpah ke jalan raya dan menjejaskan struktur tanah di bawah rumah mereka.
Bukit Kg Sogumau, yang turut menempatkan tanah perkuburan, dipercayai dipenuhi mata air dan menjadi lokasi penduduk membina paip graviti. Mata air ini tidak pernah kering dan menjadi sumber air utama penduduk.
Ketika hujan lebat, mata air akan bertakung sehingga 60 kaki diameter, seperti yang berlaku sekarang. Tempat ini terletak beberapa puluh meter sahaja dari rumah yang ranap, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk akan berlaku lagi runtuhan bila-bila masa.
“Air di atas tidak pernah kering. Ia sumber utama kami walaupun musim panas. Tetapi jika tidak diselenggara betul, ia boleh jadi ancaman hingga menyebabkan tanah runtuh.
“Banyak paip graviti rosak, pecah dan patah akibat tanah runtuh. Ini menjejaskan sumber air kami. Kami berharap sumber mata air ini dapat diselenggara dengan baik,” katanya.
Walaupun kira-kira 12 keluarga belum terjejas, mereka tetap berdepan ancaman tanah runtuh jika hujan berterusan.
Penduduk tidak mahu mengambil risiko dan meminta kerajaan menyediakan penempatan selamat.
Ketika ini, penduduk Kg Sogumau yang terjejas ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Dewan Gawir Madsiang.
Hujan berterusan sejak 7 September dan mula reda pada 17 September mengakibatkan kejadian tanah runtuh paling banyak dan teruk di Penampang, selain banjir besar di banyak kawasan.
Bencana kali ini mengorbankan 13 nyawa, semuanya akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika berada di dalam rumah.

