Segmen marin dipercayai kekal sebagai nadi keuntungan QL Resources, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen marin dipercayai kekal sebagai nadi keuntungan QL Resources, kata HLIB

image is not available

15/04/2025 - 17:10

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 April - Segmen marin QL Resources Bhd kekal sebagai nadi keuntungan kumpulan, disokong permintaan berterusan terhadap surimi dan produk berasaskan surimi meskipun prestasi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) mencatat kelembapan.

Menurut Hong LEong Investment Bank (HLIB) Research, asas permintaan yang stabil serta harga jualan yang mula menunjukkan tanda pemulihan memberi keyakinan segmen itu akan terus bertahan dalam persekitaran mencabar.

"Pengukuhan yen Jepun serta kos input yang rendah turut memainkan peranan dalam menstabilkan margin keuntungan bagi produk hiliran," katanya dalam satu nota kajian.

Prestasi produk berasaskan surimi pula dijangka kekal stabil, dipacu oleh kos input yang lebih rendah dan dolar AS yang stabil.

"Dalam jangka sederhana, kami percaya segmen hiliran akan menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perluasan kapasiti pengeluaran.

"Kilang Indonesia dijangka menyumbang tambahan 25,000 metrik tan (MT) setahun apabila mencapai kapasiti penuh dalam tempoh 3 hingga 5 tahun manakala Figo di Johor bakal menambah 7,000 MT setahun," katanya.

Gabungan kedua-dua inisiatif itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran produk surimi sebanyak 40% daripada tahap semasa iaitu 80,000 MT setahun.

"Segmen produk marin telah menyumbang purata 52% daripada keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tiga tahun lalu," tambah HLIB.

Walaupun FamilyMart dijangka mencatatkan kelembapan pada suku keempat FY25 akibat Februari yang pendek serta kehadiran bulan Ramadan pada Mac.

Langkah kerajaan seperti kenaikan gaji minimum, semakan gaji penjawat awam serta pengeluaran Akaun 3 KWSP dijangka meningkatkan kuasa beli pengguna domestik sekaligus menyokong prestasi runcit.

"Sasaran 600 cawangan menjelang FY2027 juga bakal meningkatkan kecekapan dapur pusat QL sekali gus menyumbang kepada skala ekonomi," katanya.

HLIB turut mengekalkan pandangan positif terhadap QL Resources, dengan menyifatkan struktur perniagaan kumpulan sebagai kukuh dan bersedia untuk pertumbuhan berterusan meskipun wujud cabaran jangka pendek dalam beberapa segmen.

"Gabungan permintaan mampan, pengembangan kapasiti, dan strategi pelaburan berhati-hati meletakkan QL dalam kedudukan strategik untuk terus mencatat pertumbuhan konsisten," jelasnya.

Selain produk makanan, segmen tenaga bersih QL semakin menunjukkan potensi sebagai penyumbang utama keuntungan. Ia kini mula melengkapkan pendapatan daripada sawit yang kekal stabil hasil harga yang tinggi.- DagangNews.com

standard