Maxis lihat peluang kenaikan dividen secara berperingkat, kata HLIB

Business & Finance
15 Apr 2025 • 12:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maxis lihat peluang kenaikan dividen secara berperingkat, kata HLIB

image is not available

15/04/2025 - 12:56

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 15 April - Maxis Bhd dijangka mempunyai ruang untuk meningkatkan pembayaran dividen secara berperingkat dan mengurangkan hutang bersih berikutan perbelanjaan modal (capex) jangka pendek yang lebih sederhana, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Firma penyelidikan itu berkata, Maxis berpotensi menaikkan dividen sesaham secara berperingkat daripada 17 sen pada tahun kewangan 2024 (FY24) kepada 20 sen sesaham, memandangkan dasar dwi-rangkaian 5G masih belum dimuktamadkan.

"Aliran tunai bebas berlebihan boleh digunakan untuk mengurangkan hutang, menurunkan nisbah hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan daripada 2.4 kali TK2023 kepada 2.0 kali menjelang FY25," katanya dalam satu nota kajian.

Langkah itu menunjukkan pengurusan kewangan yang berhemah, terutama dengan mengambil kira kemungkinan Maxis perlu meningkatkan semula tahap hutang sekiranya terlibat dalam pelaksanaan rangkaian 5G baharu atau penstrukturan pemilikan Digital Nasional Bhd (DNB) pada masa hadapan.

HLIB menaik taraf saranan saham Maxis daripada "pegang" kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM3.90 sesaham.

Katanya, hasil dividen bersih Maxis sebanyak 5% menawarkan pelindungan kepada pelabur, terutama dalam pasaran yang berdepan ketidaktentuan ketika ini.

Ketidaktentuan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G sebahagian besarnya telah diambil kira dalam harga saham, dan tekanan itu dijangka berkurangan apabila maklumat lebih jelas diperoleh.

Sejak separuh kedua 2024, harga saham Maxis telah merosot hampir 21% daripada paras tertinggi, sebahagian besarnya disebabkan ketidaktentuan mengenai peranan U Mobile dalam pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

HLIB mengaitkan situasi ini dengan kejatuhan pada 2022, apabila ketidaktentuan dasar berkaitan model rangkaian tunggal 5G kerajaan menyebabkan harga saham Maxis jatuh ke paras terendah beberapa tahun (-31%).

Namun selepas isu DNB diselesaikan, saham Maxis melonjak 45% dalam tempoh 11 bulan. Selepas isu DNB diselesaikan, harga saham Maxis pulih sebanyak 45% dalam tempoh 11 bulan.

HLIB berkata, pemulihan seterusnya bergantung kepada penyelesaian ketidaktentuan mengenai rangkaian 5G kedua, yang boleh berlaku dalam beberapa bentuk.

"Butiran mengenai pelaksanaan rangkaian 5G oleh U Mobile dijangka akan dietahui selepas prospektus draf IPO syarikat itu dikeluarkan, sekali gus dapat meredakan kebimbangan pasaran.

"Kami berpendapat pasaran terlalu pesimis dengan kemungkinan U Mobile melaksanakan strategi rangkaian 5G secara bersendirian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut HLIB, disebabkan keperluan membina asas perniagaan kukuh bagi menyokong pengumpulan dana IPO adalah berkurang, berkemungkinan U Mobile akan melaksanakannya secara bersendirian.

Sebaliknya, kerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang lebih besar dilihat sebagai pilihan lebih realistik.

"Gabungan antara Maxis dan U Mobile dilihat paling seimbang dari segi pasaran pelanggan Maxis dengan 11 juta dan U Mobile dengan 9 juta pelanggan, berbanding CelcomDigi yang mempunyai 20 juta pelanggan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

HLIB berkata, Maxis lebih tertumpu kepada segmen premium manakala U Mobile lebih fokus kepada segmen nilai untuk wang.

Saingan antara syarikat telekomunikasi di Malaysia kekal terkawal dengan setiap pemain memberi tumpuan bagi mengekalkan pendapatan purata setiap pengguna.

Maxis terus menumpukan usaha mengekalkan pelanggan dan mengukuhkan jenama, termasuk pelancaran perkhidmatan Maxis Home Solar yang ditawarkan dengan kontrak selama 10 tahun lebih lama berbanding kontrak biasa dua tahun bagi perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar tetap.- DagangNews.com

standard