Segmen pembungkusan plastik dijangka terkesan akibat kelembapan ekonomi global - Kenanga Research
azan
15/06/2023 - 11:32
KUALA LUMPUR 15 Jun - Kenanga Research menjangkakan segmen pembungkusan plastik akan merasai kesan penuh kelembapan ekonomi global dalam tempoh terdekat.
Firma itu berkata, selain kelembapan ekonomi, segmen yang bergantung kepada pasaran eksport itu terus berdepan kos yang lebih tinggi terutamanya tenaga kerja dan tenaga.
"Kos tenaga kerja yang lebih tinggi berpunca daripada pelarasan gaji minimum pada tahun lalu, ditambah dengan pengurangan waktu kerja mingguan maksimum kepada 45 jam (daripada 48 jam) menurut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa Januari 2023.
"Sementara itu, kesan penuh kenaikan tarif elektrik pada Januari 2023 akan dirasai pada separuh kedua 2023 sekiranya tiada lanjutan program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang tamat pada Jun 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, menerusi program GET, pengguna elektrik ditawarkan pengecualian kepada surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) sebanyak 20 sen/kWj melalui caj langganan 3.7 sen/kWj (menghasilkan penjimatan berkesan sebanyak 16.3 sen/kWj).
Bagaimanapun, tawaran untuk membeli tenaga boleh diperbaharui dihadkan pada 30% daripada jumlah penggunaan elektrik pengguna.
"Kesemua cabaran ini akan dikurangkan sebahagiannya oleh kehabisan bahan mentah berkos tinggi dan harga resin yang lebih stabil, menghasilkan margin yang lebih baik, penyimpanan semula oleh pengguna akhir dan kedudukan pemain ke arah produk margin tinggi (seperti filem regangan nano)," katanya.
Firma itu berkata, prospek industri adalah cerah, disokong oleh kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR)sebanyak 3.5% pada 2022-2027 dari segi saiz pasaran menurut penyelidik pasaran Mordor Intelligence.
"Kami percaya pemain tempatan boleh berkembang pada kadar yang lebih pantas dalam tempoh tersebut kerana mereka memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara yang kehilangan daya saing disebabkan peningkatan kos pengeluaran.
"Selain itu, pemain pembungkusan plastik di bawah liputan kami telah menyediakan rancangan pengembangan yang agak agresif untuk mengambil kesempatan daripada keadaan," katanya.
Firma itu mengekalkan penarafan 'neutral' bagi segmen itu dengan Thong Guan Industries Berhad menjadi pilihan utama. - DagangNews.com


