Segmen pengurusan hartanah dijangka pacu pertumbuhan Aeon - penganalisis

21/05/2025 - 12:59
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 Mei – Segmen pengurusan hartanah (PMS) Aeon Co (M) Bhd dijangka terus mencatat pertumbuhan stabil disokong kadar penghunian tinggi serta pembaharuan kadar sewa yang lebih baik, kata penganalisis.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) berkata, kerja ubah suai telah bermula di beberapa cawangan dan pusat beli-belah Aeon, menandakan komitmen kumpulan untuk mengukuhkan daya saing dalam landskap runcit yang semakin dinamik.
Langkah itu turut melibatkan pengurusan penyewa lebih berkesan menerusi pembaharuan sewa dan pengoptimuman campuran penyewa bagi memastikan kejayaan beterusan peniagaan PMS.
"Dua pusat beli-belah yang telah diubah suai iaitu Aeon Ayer Keroh dan Aeon Cheras Selatan mencatatkan peningkatan hasil 20% selepas pengubahsuaian.
"Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) PMS meningkat 28% dan segmen itu menyumbang purata 78% daripada keuntungan operasi dalam tempoh tiga tahun lalu," katanya dalam nota kajian.
Aeon memperluaskan penawaran produk dengan memberi tumpuan kepada jenama sendiri bagi menyesuaikan diri dengan perubahan trend pengguna.
HLIB mengekalkan saranan "beli" ke atas Aeon dengan harga sasaran (TP) RM1.82, disokong keyakinan terhadap prestasi jualan serta strategi yang dijangka meraih manfaat daripada inisiatif kerajaan termasuk Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam, dan peningkatan gaji minimum.
Firma penyelidikan itu melihat Aeon berada dalam kedudukan kukuh untuk melaksanakan rancangan pengembangan termasuk KL MidTown dan AEON Seremban 2.
Sementara itu, RHB Research menjangkakan jualan jangka pendek mungkin perlahan berikutan perbelanjaan perayaan yang tertumpu pada suku pertama.
Firma itu menyatakan Aeon kini giat memperluas portfolio jenama sendiri yang kini menyumbang 17% kepada jualan keseluruhan, sekali gus mendorong peningkatan margin dan kesetiaan pelanggan.
RHB mengekalkan saranan “beli” dengan TP RM1.75, disokong prospek kukuh dalam segmen pengurusan hartanah menerusi strategi pengembangan aktif dan inisiatif penambahbaikan aset yang berterusan.
CIMB Securities menyatakan, prestasi kewangan Aeon bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) adalah sejajar, namun menjangkakan pendapatan lebih lemah pada suku kedua dan ketiga susulan ketiadaan musim perayaan serta pengurangan jumlah pengunjung akibat kerja pengubahsuaian yang masih berjalan.
"Kami unjurkan keuntungan FY25 meningkat 5.8% YoY, disokong usaha naik taraf pusat beli-belah pada FY24 yang melibatkan pembukaan semula lima cawangan antara Ogos hingga November 2024, kadar penghunian tinggi dan semakan sewa tahunan sekitar 7.4%," ujarnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas Aeon dengan harga sasaran RM1.75 sesaham.- DagangNews.com
standard



