ICT Zone dijangka terima manfaat usaha pendigitalan, naik taraf komputer berasaskan AI - Penganalisis

21/05/2025 - 12:10
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 Mei - ICT Zone Asia Bhd dijangka meraih manfaat daripada usaha pendigitalan di Malaysia termasuk naik taraf komputer berasaskan kecerdasan buatan (AI), kata penganalisis.
Tradeview Research berkata, 70% hasil segmen rumusan penyewaan syarikat disumbangkan projek berkaitan kerajaan, sekali gus menjadikan trend naik taraf komputer peribadi berasaskan AI sebagai pemacu kepada kontrak baharu atau pembaharuan kontrak sedia ada.
"Kami menjangkakan pertumbuhan hasil 25% hingga 40% bagi tahun kewangan diunjur 2026 hingga 2028, didorong oleh perbelanjaan modal (capex) RM21 juta hasil IPO untuk memperluas aset boleh disewa serta kontrak pelanggan baharu dan diperbaharui," katanya dalam nota kajian.
Syarikat itu dijadual berpindah dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE pada 3 Jun ini.
Perkhidmatan ICT Zone merangkumi kewangan, dagangan produk ICT, perkhidmatan awan serta rumusan peranti-sebagai-perkhidmatan (DaaS) menerusi pelbagai jenamanya.
Tradeview Research yang memulakan liputan dengan saranan "beli" menyatakan pegangan pasaran kurang 10% dalam segmen penyewaan berkaitan kerajaan, ICT Zone mempunyai ruang besar untuk berkembang menerusi rumusan penyewaan bersepadu.
Firma penyelidikan itu meletakkan harga sasaran 29 sen sesaham, bersamaan potensi kenaikan 44%, berdasarkan unjuran nisbah harga-perolehan (P/E) 13 kali bagi FY27, sejajar dengan syarikat setara berikutan pertumbuhan pendapatan kukuh serta kelebihan dari segi kadar hutang yang lebih rendah.
Sementara itu, RHB Research menetapkan nilai saksama 30 sen sesaham, berdasarkan unjuran P/E 12 kali untuk FY27, sekali gus menunjukkan potensi kenaikan 51% daripada harga IPO.
RHB Research berkata, dengan sokongan nilai buku pesanan tertinggi dalam rekod hampir dua kali ganda hasil FY25, pihaknya mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) yang kukuh 47.5% bagi FY25 hingga FY28.
"Model pendapatan berulang serta pulangan atas ekuiti (ROE) yang tinggi menjadikan penilaian pasaran pada nisbah P/E 7.9 kali bagi FY27 sangat menarik," katanya.
Syarikat itu mensasarkan kutipan sehingga RM26.6 juta melalui terbitan 154 juta saham baharu, mewakili 16.72% daripada modal saham diperbesarkan.
Selepas tersenarai di Pasaran ACE, ICT Zone dijangka mempunyai permodalan pasaran RM159 juta.- DagangNews.com
standard



