
Konsert One Love Music Festival yang sepatutnya dijadualkan berlangsung esok, 21 Disember di MAEPS, Serdang terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Berita itu dimaklumkan oleh wakil penganjur yang juga Pengasas Tuff KL, Muhammad Zul Aqil menerusi satu kenyataan di Instagram pada Jumaat.
Kekurangan dana untuk tampung kos
“Dengan rasa penuh kesal, Tuff KL ingin memaklumkan bahawa One Love Music Festival yang dijadualkan berlangsung pada 21 Disember 2024 di MAEPS, Serdang terpaksa dibatalkan akibat kekurangan dana untuk menampung kos penganjuran.
“Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai cabaran yang dihadapi.
Mohon maaf
“Tuff KL mengambil tanggung jawab penuh atas keputusan ini dan komited untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan.
“Kami memahami kekecewaan peminat yang menantikan festival ini dan ingin memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
Ucap Penghargaan Kepada Semua
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong One Love Music Festival, termasuk penonton, artis, penaja, rakan strategik, dan vendor.
“Sokongan anda amat kami hargai, dan kami berharap dapat bangkit semula dengan acara yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya

