Sehingga 60% Peranti Dijual Di Malaysia Menyokong 5G Sepanjang 2023 – 2 Bilion Peranti 5G Telah Terjual Di Dunia

TechnologyDigital
25 Feb 2024 • 3:25 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sokongan rangkaian 5G di Malaysia masih lagi baharu dengan ia kini merangkumi 80% kawasan berpenduduk dan hampir penggunaannya pula hampir 30%. Menurut laporan terkini Counterpoint Research, setakat ini lebih 2 bilion peranti 5G telahpun dikeluarkan dengan Apple dan Samsung menyumbang kepada lebih 1 bilion peranti setakat ini. Peranti 5G mencapai angka ini lebih pantas berbanding peranti 4G dan 3G sebelum ini.

image is not available

Di Malaysia, dianggarkan antara 50-60% peranti yang dikeluarkan di Malaysia sepanjang 2023 menyokong 5G. Ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan Singapura yang mencecah 80%. Namun begitu Malaysia masih di hadapan Thailand, Myanmar, Vietnam, Indonesia dan Filipina di mana pengeluaran peranti 5G tahun lalu adalah di antara 20-50%.

Peranti 5G telahpun memasuki pasaran Malaysia sejak 2020 walaupun pada ketika itu rangkaian ini masih dalam fasa ujian di negara kita. Antara batu penghalang penggunaan peranti 5G lebih tinggi di Malaysia ialah harga yang masih agak tinggi dan syarikat telekomunikasi yang belum menawarkan pelan 5G yang benar-benar mampu milik berbanding pelan 4G.