Sejam dikejar polis, pasangan kekasih ditahan

15 Oct 2026 • 5:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sejam dikejar polis, pasangan kekasih ditahan

MELAKA – Polis berjaya menahan sepasang kekasih dan merampas sepeket dadah disyaki syabu seberat 0.22 gram selepas mengejar kenderaan suspek kira-kira satu jam ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Tengkera di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun dan wanita 32 tahun, kedua-duanya warga tempatan, ditahan pada pukul 7.20 malam oleh anggota pasukan khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Katanya, pada pukul 6.20 petang semalam, kereta Proton Saga yang dinaiki kedua-dua suspek dipercayai pasangan kekasih dikesan anggota BPJKK dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah apartmen di Tengkera.

“Pemandu kenderaan tersebut bertindak memecut laju ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan.

“Kenderaan suspek telah melalui beberapa laluan utama di sekitar Melaka dan suspek memandu secara berbahaya termasuk melakukan pergerakan zig zag serta melawan arus bagi mengelak daripada ditahan pihak polis.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian cuba melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka di jalan mati berhampiran sebuah masjid di Kampung Sungai Putat tetapi gagal apabila mereka berjaya ditahan pihak polis.

Katanya, semasa proses penangkapan kedua-dua suspek berkenaan, berlaku pergelutan hingga menyebabkan seorang anggota polis berusia 23 tahun cedera ringan.

“Polis menemukan sepeket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu ketika pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan suspek dan saringan urin kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau dengan tujuh daripadanya berkaitan kes narkotik manakala satu rekod melibatkan kes jenayah.

Katanya, suspek wanita pula didapati mempunyai 11 rekod lampau iaitu 10 kes berkaitan narkotik dan satu kes berkaitan jenayah.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad depan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Bernama

The post Sejam dikejar polis, pasangan kekasih ditahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved