
KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri, tidak menafikan lagu terbaharunya, Sejambak Bunga, diinspirasikan daripada kisah pengkhianatan yang dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.
Tidak menyimpan dendam, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata kekecewaan lalu kerana mempercayai orang yang salah menjadikannya lebih tabah dalam menghadapi kehidupan.
“Setiap perjalanan kehidupan, terutamanya sebagai seorang penyanyi, saya berjumpa dengan ramai orang termasuk mereka yang pernah saya percayai.
“Saya belajar menjadi Ernie Zakri yang sekarang daripada orang yang pernah saya temui dan bekerja bersama.
“Tidak perlulah saya dedahkan sama ada orang itu rapat atau tidak dengan saya, tetapi pengalaman itu mengajar saya untuk terus hidup dengan lebih kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika tayangan drama Cela di TGV KLCC, di sini, semalam.
Tambah pemenang Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 itu, sebagai penyanyi, setiap perasaan yang dilaluinya banyak diterjemahkan menerusi karya, termasuk kisah peribadi.
“Saya beruntung menjadi penyanyi kerana kita boleh berkongsi hal peribadi secara telus. Maksudnya, kalau jatuh cinta, putus cinta dan sebagainya, kita boleh ceritakan melalui lagu.
“Sama juga dengan lagu-lagu saya yang lain. Sebenarnya, semuanya berkaitan perkara peribadi yang pernah saya lalui dalam kehidupan.
“Jadi, apabila menyebut soal pengkhianatan, tentulah kita pernah melalui pelbagai fasa, terutamanya dalam kerjaya. Kita berjumpa dengan orang yang salah dan orang yang tepat. Pada saya, saya suka menceritakan kisah sendiri menerusi lagu,” katanya.
Mengulas kolaborasi bersama Hael Husaini yang sudah lama dinantikan, Ernie mendedahkan perancangan berkenaan sebenarnya sudah dirangka sejak bertahun-tahun lalu, namun sering tertangguh kerana kekangan masa.
Bagaimanapun, menyedari sudah lama tidak tampil dengan lagu heavy ballad, Ernie nekad mendapatkan Hael, dengan perbincangan mengenai lagu banyak dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Hael sangat memahami apa yang saya inginkan. Malah, ketika proses rakaman, dia enggan menghantar demo menerusi telefon, sebaliknya mahu saya mendengarnya sendiri di studio.
“Sejujurnya, saya menangis ketika pertama kali mendengar demo lagu ini.
“Selepas sahaja dia mempersembahkan lagu itu, dia terus menyuruh saya merakamnya. Apa yang didengari peminat sekarang adalah hasil rakaman pertama kali saya mendengar lagu itu.
“Hael mahukan keaslian emosi (rawness) yang saya rasakan pada saat itu,” ujarnya.
Menyentuh mengenai visual dalam muzik video (MV) lagu berkenaan yang memaparkan simbolik pedang di belakang tubuh, Ernie menjelaskan ia adalah metafora kepada rasa sakit akibat ‘ditikam’ dari belakang.
“Hael merasakan Sejambak Bunga adalah lagu yang tepat untuk saya. Sebab itu muncul aura yang sangat gelap, seolah-olah setiap kali muncul, saya mahu menikam orang kerana sudah bertahun-tahun dikhianati.
“Saya fikir bagaimana mahu membuat orang merasai perasaan seperti mereka dikhianati. Jadi, kami hasilkan visual seperti ditikam dari belakang.
“Sebab itu ada yang menonton video muzik ini mengatakan mereka rasa ngilu kerana babak ditikam itu menggambarkan perasaan apabila dikhianati,” katanya.
Sejambak Bunga yang dilancarkan pada 7 Ogos lalu turut dipilih sebagai runut bunyi drama Cela yang disiarkan menerusi platform penstriman Viu. -UTUSAN
The post Sejambak Bunga: Tidak perlu saya dedahkan siapa orang itu- Ernie Zakri appeared first on Utusan Malaysia.






