‘Sekadar membetulkan, tak bermakna kita nafikan bakat seseorang’

LocalMusic
10 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sekadar membetulkan, tak bermakna kita nafikan bakat seseorang’

PETALING JAYA – Sebagai pejuang irama Malaysia, penyanyi Noraniza Idris berpandangan anak seni perlu memahami akar serta bahasa muzik tradisional sebelum memberi nafas baharu kepada sesebuah karya etnik.

Ujar Noraniza, 55, penghayatan terhadap muzik tradisional bukan hanya bergantung pada ketepatan melodi, malah merangkumi lenggok, improvisasi vokal serta karakter instrumen dalam sesebuah budaya.

“Dalam nyanyian tradisional, lenggok dan improvisasi vokal bukan berdiri sendiri, sebaliknya berkait rapat dengan bahasa muzik sesuatu kaum.

“Apabila menyanyikan lagu beridentitikan Minangkabau, lenggok dan improvisasi vokalnya banyak mengambil rasa daripada skala serta gerak melodi caklempong. Sebab itu cara menyanyi Minang mempunyai lekuk dan jatuh nada tersendiri.

“Begitu juga apabila menyanyikan lagu Iban. Improvisasi vokalnya perlu mendekati gerak melodi dan karakter bunyi kulintangan atau engkerumong supaya lenggok dihasilkan benar-benar membawa rasa muzik Iban,” katanya dalam Threads.

Tambah pelantun lagu Ngajat Tampi itu, penyanyi perlu menyerap karakter alat muzik tradisional ke dalam nyanyian agar persembahan tidak kedengaran seperti sekadar menukar melodi kepada bentuk vokal.

Tegasnya, perbezaan antara satu muzik etnik dengan etnik lain tidak semestinya terletak pada rangka melodi semata-mata kerana susunan ensembel serta instrumen turut memainkan peranan besar dalam menentukan arah kreativiti persembahan.

“Maksudnya, kita bukan sekadar menyanyikan melodi, tetapi menyerap bahasa alat muzik tradisi itu ke dalam suara.

“Sekadar membetulkan dengan memberi pesan tidak bermakna kita menafikan bakat seseorang. Skala pentatonik dalam etnik berbeza. Lari sedikit sahaja notasi, skala boleh beralih kepada identiti etnik lain.

“Walaupun dua notasi lenggok itu berada dalam satu garisan, kebanyakan melodi etnik kita hampir sama. Perbezaannya terletak pada ensembel serta instrumen dimainkan, kerana alat muzik itulah menentukan hala tuju kreativiti kita,” ujarnya.

Pandangan tersebut hadir susulan konsert Separuh Akhir Big Stage X Rocketfuel bertemakan ‘Analog To Ultra’, semalam, apabila kesemua peserta tampil mempertaruhkan lagu berunsur tradisional, etnik kreatif, asli dan joget.

Eksplorasi peserta terhadap muzik tradisional menerima pujian, namun pada masa sama terdapat persembahan dinilai masih sedikit canggung dari segi lenggok serta penghayatan identiti muzik, terutama apabila teknik vokal moden terlalu menonjol hingga mengaburkan karakter asal sesebuah irama. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Sekadar membetulkan, tak bermakna kita nafikan bakat seseorang’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved