
LONDON – Eropah semalam mengalami gerhana matahari penuh yang berlaku sekali dalam tempoh hampir 30 tahun, dengan berjuta-juta penduduk tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena ‘sekali dalam satu generasi’ tersebut, lapor stesen berita BBC.
Di Britain, orang ramai ‘dihidangkan’ dengan gerhana matahari separa yang mencapai kemuncak sejurus selepas pukul 7 malam(waktu tempatan).
Pada waktu tersebut, sebahagian besar kawasan menyaksikan lebih 90 peratus permukaan Matahari ditutup oleh Bulan.
Sementara itu, di beberapa kawasan di Greenland, Iceland dan Sepanyol, penduduk berpeluang mengalami kegelapan menyeluruh disebabkan gerhana matahari penuh.
Sorakan dan nafas kagum kedengaran daripada orang ramai yang berkumpul di pelbagai lokasi pemerhatian di seluruh Britain dan rantau Eropah.
Peminat astronomi turut menyifatkan peristiwa itu sebagai peringatan tentang betapa menakjubkannya alam semesta.
Laluan gerhana penuh bermula di bahagian paling utara di Siberia, Russia, jauh daripada tumpuan orang ramai dan teleskop.
Fenomena itu kemudian melengkung mengelilingi Lautan Artik sebelum tiba di Iceland pada awal malam, seterusnya bergerak ke arah selatan merentasi Britain.
Gerhana separa bermula kira-kira pukul 6 petang (waktu tempatan) di utara Scotland dan sejurus sebelum jam 6.20 petang di pesisir pantai selatan England.
Walaupun agak sukar dilihat pada mulanya, cuaca cerah membolehkan orang ramai menyedari Bulan mula bergerak perlahan dan melindung permukaan Matahari.
Sebahagian besar kawasan tengah dan selatan England serta Wales menikmati pemandangan optimum sepanjang tempoh sejam fenomena itu berlaku.
Meskipun kawasan utara di England, Scotland dan Ireland Utara diliputi awan, orang ramai tetap membanjiri pelbagai mercu tanda terkenal bagi memeriahkan suasana. – AGENSI
The post Sekali dalam satu generasi, Eropah alami gerhana matahari penuh appeared first on Kosmo Digital.






