Sekali Lagi Difitnah Ada Kaitan Dengan Raja Dadah India, Abdul Malik Buat Laporan Polis

13 May 2024 • 10:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Selepas namanya dikaitkan dengan Raja Dadah India Mac lalu, ahli perniagaan terkemuka, Datuk Abdul Malik Dasthigeer sekali lagi membuat laporan polis.

Kali ini, pengasas dan Pengerusi Malik Group of Companies itu mendakwa menjadi mangsa fitnah seorang lelaki yang menggunakan nama samaran ‘Nash Mc Coy’.

Bercakap kepada Getaran, Abdul Malik berkata, beliau dimaklumkan mengenai sebuah video di YouTube, yang berkisar tentang wawancara dua lelaki dikenali sebagai Madhesh dan Vargi (Balaji).

“Video tersebut telah secara palsu menyatakan bahawa di Malaysia terdapat seorang don besar yang dikenali sebagai Datuk Malik.

“Dalam video tersebut saya telah dikaitkan dengan kumpulan jenayah dadah, dan juga di Malaysia terdapat satu rangkaian dadah yang besar,” katanya.

image is not available
Akaun TikTok yang didakwa memfitnah Abdul Malik - Gambar TikTok

Jelas Abdul Malik, video terbabit dipercayai dimuat naik dan disebarkan oleh Nash di platform TikTok bagi menjatuhkan reputasi dan nama baiknya sebagai seorang ahli perniagaan.

“Video ini bukan sahaja mencemarkan nama baik saya, tetapi turut memburukkan nama Malaysia di mata dunia kerana ada kandungan mendakwa, bekalan dadah Malaysia diperoleh dari India, khususnya Tamil Nadu.

“Ada juga petikan dalam video yang menggambarkan seolah-olah Malaysia tidak selamat untuk didiami kerana sesiapa sahaja yang menggunakan telefon bimbit dan barang kemas akan dirompak,” katanya, kesal.

Beliau memberitahu, laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 4.13 petang baru-baru ini. 

Sementara itu, sumber mendakwa, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Getaran sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung perkara ini. - Getaran, 13 Mei 2024