Sekatan Israel burukkan krisis banjir Gaza

10 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sekatan Israel burukkan krisis banjir Gaza

BANDAR GAZA: Sekatan Israel terhadap kemasukan bekalan khemah, bahan binaan dan keperluan asas memburukkan penderitaan penduduk Palestin yang kini berdepan banjir susulan ribut musim sejuk pertama melanda Gaza.

Pertubuhan bantuan kemanusiaan, Save the Childrenberkata, sekatan berterusan itu menyebabkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal tidak mampu menyediakan perlindungan lebih selamat, sekali gus mendedahkan mereka kepada cuaca sejuk dan hujan lebat.

Menurut pertubuhan itu, kira-kira 70,000 khemah di­tenggelami air dalam tempoh sehari sepanjang hujung minggu lalu, manakala Pasukan Pertahanan Awam menerima lebih 1,500 panggilan kecemasan ketika penduduk terpaksa meninggalkan khemah masing-masing.

Keadaan itu turut mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan penduduk yang berasakan penderitaan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat antarabangsa.

“Tiada siapa yang peduli tentang Gaza. Mungkin apa yang berlaku sekarang sekadar menghiburkan orang di luar sana yang bosan dan mahu membaca kisah sedih,” kata seorang penduduk, Salma, yang nama penuhnya dirahsiakan atas permintaannya, kepada Arab News.

Salma berkata, air hujan tetap memasuki khemah keluarganya di Al-Mawasi, Khan Younis, walaupun mereka sudah melapisi bahagian atas khemah dengan beberapa lapisan kanvas bagi menghalang air daripada masuk.

Menurut Save the Children, pihak berkuasa Israel terus menghalang kemasukan tempat perlindungan pasang siap dan mengehadkan bekalan khemah, kanvas kalis air, selimut, bahan api serta bahan binaan yang diperlukan untuk membaiki kediaman rosak.

Pengarah Serantau Save the Children bagi Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur, Ahmad Alhendawi berkata, khemah, kit perlindungan dan bahan api masih menunggu di sempadan Gaza ketika kanak-kanak terpaksa tidur dalam air banjir akibat sekatan berkenaan.

Beliau berkata, keadaan itu boleh dielakkan sekiranya bekalan diperlukan dibenarkan memasuki wilayah berkenaan, sambil menegaskan Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai tanggungjawab un­dang-undang memastikan orang awam menerima keperluan untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, lebih 464,000 penduduk Gaza dilaporkan tinggal di kawasan penempatan sementara yang berisiko tinggi dilanda banjir, termasuk di Al-Mawasi, Deir Al-Balah, Bandar Gaza, utara Gaza dan Rafah.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran paras air yang meningkat di kolam Sheikh Radwan di Bandar Gaza berpotensi menyebabkan air hujan bercampur kumbahan melimpah ke kawasan kejiranan berhampiran berikutan sistem pam yang rosak.

Pertubuhan bukan kerajaan, Euro-Med Human Rights Monitor pula berkata, kira-kira dua juta penduduk memerlukan bantuan tempat perlindungan selepas Israel memusnahkan atau merosakkan sebahagian besar kediaman di wilayah itu, selain menuduh negara berke­naan menghalang kemasukan bekalan pembaikan dan pembinaan semula.

Bagaimanapun, Israel berkata, pihaknya menyekat kemasukan barangan yang berpotensi digunakan untuk tujuan ketenteraan, manakala pegawai keselamatannya mendakwa 91,000 khemah baharu, kanvas kalis air serta 9,000 muatan lori berisi pakaian termasuk selimut sudah dihantar ke Gaza.

The post Sekatan Israel burukkan krisis banjir Gaza appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved