Sekatan TikTok Na’im Brundage: Bantahan awal MCMC dibenar

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 2:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sekatan TikTok Na’im Brundage: Bantahan awal MCMC dibenar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta empat pihak lain berjaya dalam bantahan awal terhadap permohonan Ketua Armada Bersatu Selangor Na’im Brundage untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung sekatan akaun TikToknya.

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan lima pihak termasuk Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan kerajaan terhadap permohonan Na’im itu.

Dalam penghakimanya, Hakim Norliza berkata
keputusan untuk menyekat atau menggantung akaun TikTok pemohon (Na’im) tidak datang daripada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia MCMC.

“MCMC hanya mengambil tindakan pentadbiran dengan memaklumkan TikTok mengenai isu pematuhan garis panduan platform berkenaan dan tindakan seterusnya adalah keputusan TikTok. Semakan kehakiman di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah berkaitan proses membuat keputusan dan bukan rayuan terhadap merit sesuatu keputusan,” katanya.

Mahkamah turut menegaskan bahawa dalam permohonan semakan kehakiman, ia tidak bertindak sebagai tribunal rayuan, sebaliknya menjalankan bidang kuasa penyeliaan terhadap proses membuat keputusan.

“Siapa yang membuat keputusan untuk menapis dan menyekat akaun pemohon? Sudah pasti TikTok yang menapis dan menyekat akaun pemohon dan bukan responden. Responden ketiga hanya menjalankan tindakan undang-undang dan pentadbiran. Ia tidak boleh dianggap sebagai satu keputusan yang boleh disemak,” katanya.

Sebelum ini, bantahan awal itu dikemukakan oleh lima pihak tersebut selaku pemohon iaitu Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC Datuk Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Pengerusi MCMC dan suruhanjaya itu.

Dua lagi pemohon ialah Fahmi Fadzil dan kerajaan.

Semasa prosiding, peguam A.Ruebankumar mewakili tiga pihak iaitu Mohamed Sulaiman, pengerusi MCMC dan MCMC manakala peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipolamin mewalili Fahmi dan kerajaan.Na’im diwakili peguam Latheefa Koya.

Terdahulu Na’im memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan yang terkandung di dalam surat bertarikh 1 April 2024 yang menyekat dua akaun TikToknya.

Dalam afidavit sokongannya pemohon berkata beliau kerap memuat naik video di dua akaun TikToknya, dengan kandungan video itu merupakan luahan pandangan serta pendapat beliau berkenaan isu-isu semasa, namun Mac tahun sama beliau mendapati bahawa akaun-akaun TikTok itu telah disekat. – KOSMO! ONLINE

The post Sekatan TikTok Na’im Brundage: Bantahan awal MCMC dibenar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved