
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (30 September) tular satu video rakaman litar tertutup (CCTV) memaparkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sedang memarahi seorang individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Insiden itu turut disaksikan oleh beberapa individu lain yang berada di kawasan berkenaan. Mohd Shuhaily kemudian memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung insiden itu.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tular Video Marah Individu Di KLIA, KP AKPS Akan Keluar Kenyataan Media Dalam Masa Terdekat
KP AKPS tampil jelaskan berhubung isu tular marah individu di KLIA
Terbaharu Mohd Shuhaily tampil menjelaskan insiden berkenaan berlaku sewaktu beliau sedang melakukan pemeriksaan terhadap individu yang disyaki terbabit sindiket ‘ulat’ warga asing.
Jelas beliau, sewaktu insiden Mohd Shuhaily bersama pasukannya baru selesai melakukan pemantauan persiapan menjelang perlumbaan Formula 1 (F1) yang akan berlangsung hujung minggu ini sebelum menjalankan pemantauan berhubung kegiatan ulat ekoran banyak menerima aduan.
“Yang mana kebetulan pada masa dan saat itu, apa yang kami terima (aduan) berlaku di depan mata kami.
“Dan disitu, kita menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian kita bawa ke bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC),” jelasnya, lapor Berita Harian.
Mohd Shuhaily sedia tanggung sebarang akibat demi perubahan
Sementara itu, Mohd Shuhaily turut mengatakan beliau sanggup berkorban termasuklah ‘membayar’ harga yang mahal untuk melakukan perubahan. Akan tetapi beliau berharap perkara terbabit tidak memberikan kesan negatif terhadap pasukannya.
“Seperti yang saya sering katakan, saya tidak sempurna, hari ini saya berdiri di sini bersedia menanggung akibat.
“Seperti mana tuan-tuan selalu lihat dalam saya punya klip dalam sosial media, saya mengatakan saya tidak sempurna, banyak kali saya katakan, hari ini saya berdiri di sini mengaku dan bertanggungjawab atas kekurangan itu.
“Justeru apa juga keputusan mereka (kerajaan), saya terima kerana pada saya untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” ujar beliau lagi.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat apa-apa juga keputusan susulan hantaran video tular melibatkan dirinya hari ini. https://t.co/0UsjQsEupa
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 1, 2026
Insiden tular berlaku padda 28 September
Dalam pada itu, AKPS dalam satu kenyataan di Facebook turut memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai video yang menjadi sohor di media sosial.
Unit Komunikasi Korporat AKPS mengesahkan rakaman terbabit merupakan rakaman sebenar yang dipetik daripada CCTV di KLIA Terminal 1 yang berlaku pada 28 September sewaktu Mohd Shuhaily mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formila 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Terima aduan berlaku peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang, seorang warga asing dikenalpasti dan ditemubual
“Dalam tinjauan berkenaan, KP AKPS (Mohd Shuhaily) bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti ‘ulat’ di kawasan KLI.
“Ini adalah berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai terhadap berlakunya peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.
“Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan AVSEC KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.”
Berikutan daripada operasi itu, seorang individu warga asing kemudiannya telah dikenapasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut. AKPS juga mahu menjelaskan proses pemeriksaan serta temu bual pada waktu itu membabitkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA sahaja dan tidak membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain.
2 individu tular dalam video bukan sebahagian daripada pasukan operasi, rakam temubual tanpa kebenaran guna telefon masing-masing
“Video tular adalah melibatkan dua individu lain ketika itu bukan terdiri daripada pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai dan telah merakam sesi temu bual antara KP AKPS bersama warganegara asing tersebut tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing.
“Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara lansung di dalam operasi tersebut,” ujarnya.
Susulan daripa itu, dua individu (dalam video tular) telah membuat laporan polis sehari selepas insiden berlaku dan laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular video CCTV di media sosial.
KP AKPS buat laporan polis untuk siasatan lanjut
Justeru itu, KP AKPS kemudiannya sudah pun membuat laporan polis berhubung:
- Tohmahan
- Rakaman
- Penyebaran video
Perkara itu untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh, termasuklah berkaitan keadaan rakaman berkenaan diperoleh serta disebarkan.
“Penyebaran rakaman tersebut juga dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi beliau (Mohd Shuhaily) sebagai KP AKPS serta agensi ini.
“AKPS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.”






