Video Di KLIA Tular, Shuhaily Serah Kepada Kerajaan Untuk Tentukan Tindakan

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 5:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Video Di KLIA Tular, Shuhaily Serah Kepada Kerajaan Untuk Tentukan Tindakan

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan sama ada sebarang tindakan perlu diambil terhadapnya susulan penularan video insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Shuhaily berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada kerajaan serta kementerian berkaitan.

“Walau apa pun keputusan yang dibuat, saya akan menerimanya,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas hari ini.

Beliau turut memaklumkan, laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan kerana bimbang insiden itu dimanipulasi untuk menjejaskan imej AKPS dan reputasinya.

Mengakui dirinya tidak sempurna dan mempunyai kelemahan, Shuhaily berkata perkara itu juga pernah dinyatakan pada beberapa kesempatan sebelum ini.

“Saya sudah banyak kali mengatakan bahawa saya tidak sempurna. Hari ini, saya berdiri di hadapan anda semua untuk mengakui dan berdepan dengan segala kekurangan yang ada pada diri saya,” katanya.

Menurutnya, usaha membawa perubahan sememangnya mempunyai harga yang perlu dibayar dan beliau bersedia menanggung akibat sekiranya perlu berdepan dengan kesan tersebut.

"Apa pun, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut dan biarlah keadilan ditegakkan untuk semua pihak,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial satu video memaparkan seorang lelaki menyerupai Shuhaily berdepan dengan dua individu di KLIA.

Turut tersebar ialah satu dokumen daripada salah seorang individu terbabit yang mendakwa dirinya dilayan secara tidak wajar oleh Shuhaily.

AKPS mengesahkan video berkenaan merupakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebenar yang dirakam di Terminal 1 KLIA.

Menurut agensi itu, kejadian berlaku pada 28 September ketika Shuhaily menjalankan pemeriksaan terhadap operasi AKPS di lapangan terbang berkenaan, sebagai persediaan menyambut ketibaan delegasi dan kru bagi Grand Prix Formula 1 Bahrain.

Pemeriksaan tersebut turut melibatkan operasi penguatkuasaan terhadap warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti “ulat” di KLIA.

Seorang warga asing kemudiannya dibawa ke kawasan tuntutan bagasi untuk pemeriksaan dan soal siasat lanjut, dengan proses terbabit dikendalikan pasukan operasi AKPS bersama anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA.

AKPS berkata, dua lelaki yang kelihatan dalam video berkenaan bukan sebahagian daripada operasi itu dan memasuki kawasan tuntutan bagasi tanpa pengetahuan pegawai bertugas sebelum merakam sesi soal siasat menggunakan telefon bimbit tanpa kebenaran.

Menurut agensi itu, tindakan berkenaan mencetuskan konfrontasi dan disifatkan sebagai provokatif.

Kedua-dua lelaki terbabit kemudian membuat laporan polis secara berasingan masing-masing pada 29 dan 30 September.

Shuhaily turut membuat laporan polis, manakala AKPS berkata pihak berkuasa wajar menyiasat bagaimana rakaman berkenaan diperoleh dan kemudiannya tersebar.

AKPS memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sepanjang siasatan masih dijalankan.

Rakaman video kejadian boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/v/1DET4AGhCt/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 1 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved