
Sekolah Angkat MADANI: PERHEBAT Sambut Baik PdP Digital
KOK LANAS, 10 DISEMBER 2025 – Demi membina masa depan anak bangsa yang lebih sejahtera, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) komited dalam mendukung usaha memperkasa ekosistem pendidikan negara menerusi penglibatannya dalam inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
Inisiatif ini selari dengan peranan PERHEBAT sebagai sebuah institusi latihan yang memartabatkan pembangunan sahsiah, kemahiran dan pembangunan kerjaya. Melalui pendekatan ini, PERHEBAT bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan generasi muda, tetapi turut memupuk nilai tanggungjawab sosial serta memperkukuh pendidikan komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pengarah PERHEBAT, Dato’ Ts. Amir Md. Noor berkata inisiatif ini seiring dengan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang menekankan pembangunan modal insan, kesejahteraan komuniti dan kolaborasi strategik dalam melahirkan masyarakat yang lebih Inklusif dan mampan.
“Program Sekolah Angkat MADANI adalah cerminan iltizam PERHEBAT dalam memperkasakan pendidikan anak-anak warga tentera dan awam, selaras dengan aspirasi MADANI untuk membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi kemajuan negara.
la juga memberi peluang kepada seluruh ekosistem PERHEBAT untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, kepimpinan dan semangat patriotisme bersama pelajar sekolah,” jelasnya.
BACA: Kerajaan MADANI Komited Tamatkan Kemiskinan Tegar Suku Pertama 2026 – PM Anwar
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peranti sokongan digital dan kemudahan fizikal kepada Sekolah Angkat MADANI PERHEBAT iaitu Sekolah Kebangsaan Desa Pahlawan yang diwakili Guru Besar, En. Wan Mohd Abd. Malik Wan Omar.

PERHEBAT menyokong penuh aspirasi Dasar Pendidikan Digital, Kementerian Pendidikan bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing membabitkan pendidik dan murid.
Sumbangan ini diunjur berupaya menyatupadukan platform pembelajaran digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Penggunaan Smart TV misalnya memberi peluang kepada guru menyesuaikan pendekatan berdasarkan keperluan murid, gaya pembelajaran murid, serta menggalakkan komunikasi dua hala yang tentunya lebih berkesan.

Untuk rekod, PERHEBAT sedang melaksana inisiatif 2 buah Sekolah Angkat MADANI iaitu SK Desa Pahlawan dan SK Riam Batu 2, Miri, Sarawak.
Sekolah Angkat MADANI adalah kesinambungan komitmen Kerajaan dalam menggerakkan pendekatan whole of nation yang menyatukan usaha pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, GLC, agensi kerajaan dan masyarakat setempat dalam memperkasa sistem pendidikan negara melalui pendekatan berasaskan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Keterangkuman, selaras dengan teras Malaysia MADANI.
la memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah, program akademik dan bimbingan murid, latihan dan pembangunan guru, bantuan kewangan dan biasiswa serta program pembangunan sahsiah dan kemahiran.
BACA: Program Sekolah Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia Perkukuh Pembelajaran STEM Dan Sokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030
The post Sekolah Angkat MADANI: PERHEBAT Sambut Baik PdP Digital appeared first on Siakap Keli.

