Sekolah, asrama wajib ada sistem aduan selamat, sulit

LocalFamily & Parenting
27 Sep 2026 • 1:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sekolah, asrama wajib ada sistem aduan selamat, sulit

ALOR SETAR – Setiap sekolah dan asrama perlu mempunyai sistem aduan yang benar-benar selamat dan sulit bagi mengekang sebarang perlakuan menyalahi undang-undang terutama kes buli dalam kalangan pelajar.

Timbalan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Zainol Abidin Mohamad berkata, pada masa sama pelajar perlu dididik supaya berani melaporkan kejadian tanpa takut dianggap sebagai pengadu atau menerima tindakan balas.

“Setiap aduan mesti disiasat segera, seterusnya kaunseling dan intervensi awal perlu diperkasakan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau yang juga Pengerusi PIBKS Kedah, lebih penting, pembuli tidak sesekali dilindungi hanya kerana mahu menjaga nama baik mana-mana institusi.

“Nama baik sesebuah sekolah bukan terletak kepada berapa sedikit kes yang dilaporkan, tetapi sejauh mana keselamatan dan kebajikan setiap anak yang diamanahkan kepadanya dijaga,” ujarnya.

Selain itu, kata Zainol Abidin, pihak sekolah juga perlu meningkatkan pengawasan di kawasan berisiko.

“Di pihak ibu bapa, mereka perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak masing-masing,” katanya.

Menurutnya, buli pada zaman ini dilihat semakin kompleks yang mana ia bukan sahaja buli fizikal, malah buli secara lisan, psikologi, berkumpulan dan buli siber melalui media sosial.

“Pada pandangan saya, kita tidak boleh lagi melihat buli sebagai sekadar budak-budak bergaduh atau sebahagian daripada proses membesar. Buli adalah satu bentuk keganasan,” ujarnya.

Justeru, katanya, semua pihak iaitu sekolah, keluarga, masyarakat, Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa perlu bergerak bersama dalam menangani isu buli.

“Jangan tunggu sehingga ada yang cedera parah dan kehilangan nyawa. Sekolah dan asrama mesti menjadi tempat paling selamat selepas rumah dan bukan tempat yang ditakuti oleh anak-anak kita,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang yang telah lama berada dalam dunia pendidikan, beliau percaya pendidikan bukan sekadar mengejar A dalam peperiksaan tetapi mesti melahirkan manusia yang mempunyai ilmu, akhlak empati dan rasa hormat terhadap nyawa serta maruah orang lain.

Berhubung kematian pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril didakwa akibat dibuli, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. – KOSMO! ONLINE

The post Sekolah, asrama wajib ada sistem aduan selamat, sulit appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved