
SEREMBAN – Polis menyiasat kemungkinan wujud unsur buli berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah asrama sekolah di daerah Kuala Pilah, termasuk dakwaan mangsa dipukul kerana disyaki menghisap vape.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada wujud unsur buli dalam kejadian itu.
“Siasatan masih dijalankan sama ada wujud buli atau tidak sebelum ini,” katanya.
Alzafny berkata, keputusan bedah siasat juga masih belum diperoleh berikutan polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Semalam, media melaporkan Alzafny berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang melanggar peraturan sekolah.
Susulan itu, seorang pelajar tingkatan empat dipercayai menegur dan ‘menghukum’ mangsa berhubung kesalahan berkenaan.
Setakat semalam, polis telah merekodkan keterangan 21 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan.
Seorang pelajar berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar mati, polis siasat dakwaan dipukul kerana hisap vape appeared first on Kosmo Online.





