
GEORGE TOWN : Sekolah-sekolah yang terjejas akibat jerebu di Pulau Pinang dilaporkan kini bersedia untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi angka 200.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, ketika ini, persiapan ke arah itu sudah dibuat dan ia hanya menunggu masa untuk dilaksanakan jika keadaan menjadi semakin teruk.
“Mengikut garis panduan yang ditetapkan, aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala apabila IPU mencapai 200, murid tidak perlu hadir ke sekolah dan PdPR akan dilaksanakan.
“Tetapi, buat masa ini, belum boleh lagi (PdPR). Kita cuma buat persediaan dan jika bacaan IPU itu menunjukkan kecenderungan mencapai 200, maka, kita akan maklumkan lebih awal agar guru, ibu bapa dan murid dapat membuat persediaan untuk pelaksanaan PdPR,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turun padang pada sesi Kunjungan Pemantauan Kesediaan Sekolah Menguruskan Warga Sekolah Menghadapi Jerebu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Tambah Mohamad Dziauddin, JPNPP akan menilai keadaan jerebu pada sebelah petang atau malam sehari sebelumnya bagi menentukan keperluan untuk melaksanakan PdPR atau sebaliknya.
“Kalau boleh, kita tidak mahu membuat keputusan pada saat akhir sehingga menyebabkan ibu bapa, pihak sekolah serta pengusaha kantin tidak sempat membuat persediaan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, sehingga pukul 10 pagi ini, bacaan IPU di keempat-empat stesen di Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya, Seberang Perai, Minden dan Balik Pulau berada pada tahap sederhana iaitu antara 76 hingga 85 berbanding waktu yang sama semalam iaitu antara 96 hingga 155.-UTUSAN
The post Sekolah di Pulau Pinang sedia laksanakan PdPR jika IPU melebihi 200 appeared first on Utusan Malaysia.





