
PETALING JAYA: Empat negeri iaitu Sarawak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 10 pagi tadi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 194 di IPD Serian diikuti Kuching (176), Samarahan (172), Sri Aman (158) dan Bintulu (125).
Selangor pula merekodkan bacaan 160 di Johan Setia dan 101 di Kuala Selangor manakala Kedah masing-masing mencatatkan 155 di Sungai Petani dan 152 di Alor Setar.
Sementara itu, Pulau Pinang merekodkan bacaan IPU 130 di Minden.
Selain itu, 58 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan baik, sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi ini.
Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). – UTUSAN
The post Empat negeri catat IPU tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.





