Sekolah & Kantin Beroperasi Seperti Biasa Ketika Ramadan – Menteri KPM

LocalPolitics
17 Feb 2025 • 5:47 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Hari ini (17 Februari) merupakan hari pertama persekolahan bagi murid dan pelajar di sekolah-sekolah kebangsaan.

Bagi pelajar Muslim pula, selain perlu menyesuaikan diri di alam persekolahan, mereka juga perlu bersedia bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba kurang daripada dua minggu sahaja lagi.

Perkara ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan ibu bapa jika murid-murid sekolah akan dibenarkan pulang lebih awal bagi persediaan berbuka puasa.

Waktu Sesi Persekolahan & Operasi Kantin Kekal Sama Ketika Ramadan

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pagi tadi (17 Februari) bagaimanapun mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan beroperasi seperti biasa sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Tambah beliau lagi, waktu operasi kantin juga akan kekal seperti biasa sepanjang bulan Ramadan.

“Sekolah dan kantin sama (beroperasi seperti biasa). Ramadan tetap macam biasa, nak balik awal pun bukan boleh buka puasa awal.

“Dua minggu sahaja kantin beroperasi untuk sesi sekolah bulan Ramadan, jadi tiada masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Sekolah Sesi Petang Di Semenanjung Tamat Jam 5.30 Petang Ketika Ramadan

Sehubungan itu, Fadhlina memohon semua pihak agar merujuk dan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), termasuk bagi sepanjang bulan puasa.

Menurut laporan Berita Harian, garis panduan KPM menetapkan bahawa sesi petang di sekolah yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan ditamatkan seawal jam 5.30 petang bagi negeri di Semenanjung ketika bulan Ramadan.

Manakala sekolah sesi petang di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula akan ditamakan seawal jam 5 petang.

Tambah Fadhlina, walaupun semua pihak perlu merujuk kepada garis panduan persekolahan yang ditetapkan, namun KPM mengambil maklum jika ada keperluan khas bagi isu tertentu yang perlu dilakukan.

Tips Ajar Anak-Anak Untuk Berpuasa Di Bulan Ramadan

Memandangkan anak-anak baru sahaja memulakan persekolahan sebelum bakal berdepan dengan bulan Ramadan, di sini kami kongsikan beberapa tips agar si kecil bersemangat untuk berpuasa!

Pertama, jelaskan tentang bulan Ramadan kepada anak-anak dan tentang kewajipan berpuasa. Namun diingatkan bahawa mereka yang belum baligh masih tidak wajib berpuasa.

Ibu bapa juga boleh cuba kejut dan mengajak anak untuk bersahur. Sediakan juga hidangan yang berkhasiat agar si kecil kekal bertenaga sepanjang hari.

Elakkan anak-anak daripada melakukan aktiviti fizikal atau bermain terlalu banyak. Sebaliknya, lakukan ibadah bersama seperti berzikir dan membaca al-Quran. Ibu bapa jangan lupa beri pujian dan ganjaran ya jika anak berjaya berpuasa!

Source: