Sekolah sesi petang ketika Ramadan tamat lebih awal - KPM

LocalPolitics
17 Feb 2025 • 8:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sekolah sesi petang ketika bulan Ramadan akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5 petang. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang Ramadan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi petang persekolahan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula tamat jam 5 petang.

"KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar kementerian itu, pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan untuk sekolah kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan KPM berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelum ini.

"Ia adalah berdasarkan kepada surat siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang diguna pakai. Sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa," katanya.

Terdahulu Menteri KPM Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak bercadang untuk memendekkan waktu persekolahan sepanjang bulan Ramadan tahun ini, sebaliknya berlangsung seperti biasa mengikut garis panduan sedia ada.