Sekolah Rintis Bangsa Johor bukti ‘keberanian’

8 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sekolah Rintis Bangsa Johor bukti ‘keberanian’

GAGASAN Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Johor pada tahun 2024 atas ilham Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini semakin mendapat perhatian.

Inisiatif yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan melahirkan generasi murid berdaya saing global.

Selepas hampir dua tahun dilaksanakan di 10 sekolah rintis di seluruh Johor, SRBJ bukan lagi dilihat sekadar projek pendidikan negeri, sebaliknya mula dinilai sebagai model yang berpotensi menjadi rujukan kepada sistem pendidikan kebangsaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Syahidan Zainal Abidin berkata, SRBJ merupakan satu eksperimen dasar yang ‘berani’.

Menurutnya, model itu bukan sekadar menambah sebuah lagi kategori sekolah berprestasi tinggi, malah menjadi platform menguji dasar pendidikan yang boleh dijadikan rujukan kepada sekolah lain pada masa depan.

“SRBJ diwujudkan ketika sistem pendidikan negara sedang mencari pendekatan baharu bagi memperkukuhkan kualiti pembelajaran.

“Kekuatan utama SRBJ terletak pada empat teras utama iaitu penguasaan Bahasa Inggeris, pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sistem penilaian standard serta laluan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Keempat-empat komponen ini saling melengkapi supaya setiap fasa pembelajaran membentuk asas yang kukuh sebelum murid melangkah ke institusi pengajian tinggi atau memasuki alam pekerjaan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut beliau, SRBJ turut membawa perubahan besar terhadap pendekatan pembelajaran apabila murid tidak lagi menjadi penerima maklumat secara pasif, sebaliknya digalakkan berfikir secara kritis menerusi pembelajaran berasaskan projek dan inkuiri.

Katanya, pendedahan kepada robotik, kecerdasan buatan (AI), pencetak 3D dan sistem autonomi sejak sekolah rendah memperlihatkan kesungguhan Johor menyediakan murid menghadapi keperluan ekonomi masa depan.

“Pelaksanaan program seperti Kelab STEM dan Anak Emas STEM pula membantu mengenal pasti serta memupuk bakat murid sejak usia muda.

“Namun, kejayaan SRBJ tidak boleh diukur berdasarkan kecanggihan teknologi atau kemudahan moden semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui perubahan budaya pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah,” katanya.

Beliau berpandangan kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor, KPM, Apple serta usaha meneroka kolaborasi dengan Harvard University memperlihatkan komitmen membina ekosistem pendidikan bertaraf antarabangsa.

Katanya, cabaran terbesar SRBJ ialah memastikan guru benar-benar bersedia mengubah pendekatan pengajaran daripada kaedah konvensional kepada pedagogi berasaskan projek dan penyelesaian masalah.

“Usaha Johor menghantar guru serta pentadbir SRBJ mengikuti latihan pedagogi STEM di Singapura sebelum sekolah beroperasi adalah langkah tepat.

“Kejayaan SRBJ juga perlu diukur melalui peningkatan prestasi murid, keberkesanan amalan pembelajaran, bukannya hanya keputusan peperiksaan,” ujarnya.

The post Sekolah Rintis Bangsa Johor bukti ‘keberanian’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved