Sekolah, tadika dan taska seluruh Batu Pahat ditutup esok, jerebu catat IPU 203

LocalEnvironment
6 Oct 2026 • 9:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sekolah, tadika dan taska seluruh Batu Pahat ditutup esok, jerebu catat IPU 203

JOHOR BAHRU: Sekolah, tadika dan taska di seluruh Daerah Batu Pahat akan ditutup bermula esok susulan keadaan jerebu yang menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 203, iaitu pada tahap bacaan sangat tidak sihat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, tindakan itu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta garis panduan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tertakluk kepada ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk aktiviti sukan, kokurikulum, perhimpunan serta program atau keramaian di luar hendaklah ditangguhkan bagi mengurangkan pendedahan murid dan warga sekolah kepada udara tercemar.

“Sekiranya bacaan IPU melebihi 200, penutupan sekolah di kawasan yang terlibat hendaklah dilaksanakan berdasarkan ketetapan dan arahan pihak berkuasa pendidikan yang sedang berkuat kuasa.

“Bagi pentaksiran dan peperiksaan awam, pelaksanaannya hendaklah tertakluk kepada arahan, ketetapan dan panduan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pendidikan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhammad Naqib, kerajaan negeri menyeru kerjasama semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid untuk bersama memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan warga pendidikan terus terpelihara.

“Segala aktiviti sukan, kokurikulum dan program luar hendaklah disesuaikan dengan keadaan cuaca serta bacaan IPU semasa dan tidak diteruskan sekiranya keadaan didapati tidak selamat,” katanya.-UTUSAN

The post Sekolah, tadika dan taska seluruh Batu Pahat ditutup esok, jerebu catat IPU 203 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved