
PETALING JAYA – Pengurusan jerebu di negara ini perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), termasuk keputusan berkaitan pengoperasian sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan tatacara pengoperasian sekolah bagi memastikan keputusan dibuat secara lebih teratur dengan mengambil kira keadaan semasa.
Katanya, berdasarkan penyelarasan berkenaan, semua aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200.
“Kita perlu memahami bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat.
“Penutupan sekolah untuk beberapa hari lebih awal tanpa mengambil kira perubahan ini boleh menyebabkan anak-anak kehilangan masa pembelajaran walaupun kualiti udara telah kembali pulih,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, tatacara itu diselaraskan susulan perbincangan dengan agensi berkaitan, dengan mengambil kira bacaan IPU serta nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan bahawa beliau memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang negara berdepan situasi jerebu.
Pada masa sama, beliau mengakui kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, terutama murid yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
“Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang akan kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” katanya.
Beliau berkata, KKM turut memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan, termasuk penggunaan pelitup muka ketika jerebu bagi melindungi murid daripada kesan pencemaran udara.
“Saya berharap penyelarasan ini dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa (dan) mengurangkan kesulitan yang dihadapi.
“(Selain) memastikan setiap keputusan pengoperasian sekolah dibuat dengan mengambil kira kesihatan serta kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” katanya.
Terdahulu, Nadma menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat tindakan menangani jerebu dengan memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, khususnya murid sekolah.
Kata Nadma, tindakan itu merangkumi mesyuarat penyelarasan secara berkala, pemantauan kualiti udara berterusan serta tindakan segera oleh agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Sekolah tutup, aktiviti luar ditangguh ikut PTJK – Fadhlina appeared first on Kosmo Online.





