
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyelaraskan tatacara pengoperasian sekolah ketika jerebu berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan keputusan dibuat secara teratur dengan mengambil kira keadaan kualiti udara semasa.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penyelarasan itu dilakukan susulan perbincangan bersama agensi berkaitan dan penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya pengurusan jerebu berpandukan pelan berkenaan.
Katanya, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah akan ditutup sekiranya bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan PTJK.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Menurut Fadhlina, bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh singkat dan keputusan menutup sekolah lebih awal tanpa mengambil kira perubahan kualiti udara boleh menyebabkan murid kehilangan masa pembelajaran walaupun keadaan kembali pulih.
Pada masa sama, katanya, beliau memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Sehubungan itu, ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu, dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah.
Fadhlina berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memberikan pandangan berkaitan langkah perlindungan kesihatan, termasuk penggunaan pelitup muka ketika jerebu.
Katanya, langkah pencegahan sedemikian penting bagi melindungi kesihatan murid ketika berdepan keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Beliau menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan, namun kepentingan setiap hari persekolahan terhadap perkembangan serta pembelajaran mereka juga perlu diberikan perhatian.
Justeru, katanya, penyelarasan berkenaan diharap dapat memberikan kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi serta memastikan keputusan pengoperasian sekolah mengambil kira keseimbangan antara kesihatan murid dengan kelangsungan pendidikan mereka.






