GOMBAK, 10 NOV: Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor dibentuk bagi memperkukuh kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi HARAPAN Selangor berkata melalui penubuhan ini pelbagai perkara termasuk pentadbiran dan urusan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat lebih dipererat.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sekretariat turut akan mengatur beberapa program yang akan dilaksana bersama sehingga menuju pilihan raya.

“Antaranya diadakan pemukiman dengan menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ikat hubungan lebih erat .
“Kerjasama akan terus dipereratkan hingga pilihan raya dengan mengguna pakai modul peringkat pusat ke Selangor,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Dataran Sungai Tua di sini, semalam.

Khamis lalu, mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor berlangsung yang dipengerusikan Setiausaha Perpaduan Negeri Selangor Dr Mohd Khairuddin Othman.
Mesyuarat kali pertama itu diadakan bagi membincangkan penubuhan jawatankuasa sekretariat dan gerak kerja untuk menyatupadukan parti-parti di bawah naungan Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor.
The post Sekretariat Kerajaan Perpaduan Selangor ditubuh, kukuh kerjasama HARAPAN-BN appeared first on Selangorkini.

