Sekretariat rakyat ditubuh, fokus kenaikan kos sara hidup rakyat - Ibrahim Ali

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 6:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ibrahim ketika berucap dalam Himpunan Bantah Harga Minyak di hadapan Kompleks Sogo di Kuala Lumpur pada Ahad.

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Sebuah sekretariat akan ditubuhkan bagi menangani pemasalahan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga minyak diesel negara ini.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pertubuhan dinamakan sebagai Sekretariat Rakyat Bertindak Menangani Kos Sara Hidup itu menghimpunkan penyertaan pelbagai pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang bersedia memperjuangkan isu berkenaan.

"Mereka yang dipilih ini bukan sekadar bercakap, tetapi sanggup berkorban. Itulah peranan utama sekretariat ini.

"Saya sendiri akan mengetuai dan mengurus sekretariat ini. Kita akan merancang tindakan susulan, memantau dasar kerajaan dan bertindak sewajarnya demi kepentingan rakyat.

"Jika hari ini kita berhimpun tetapi tiada perubahan, kita akan terus bergerak," katanya ketika dalam sidang media selepas Himpunan Bantah Harga Minyak di hadapan Kompleks Sogo di Kuala Lumpur pada Ahad.

Hadir sama Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham dan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

Kenaikan harga bahan api dikaitkan dengan konflik di Asia Barat susulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan global dan perkapalan di Selat Hormuz.

Ujar Ibrahim, pehimpunan tersebut merupakan langkah pertama dalam membangkitkan suara rakyat berhubung isu kenaikan harga minyak.

Menurutnya, rakyat tidak boleh hanya berdiam diri atau sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati tanpa sebarang tindakan yang nyata.

"Ada yang mengatakan perhimpunan tidak membawa hasil, tetapi jika kita tidak bersuara, keadaan akan terus memburuk.

"Saya bukan pemimpin retorik. Saya bukan seperti Hang Tuah atau Hang Jebat yang hanya berpakaian pahlawan, berkeris di pinggang tetapi tidak pernah mencabut keris.

"Sekarang, kita mesti melakukan tindakan yang benar-benar praktikal. Ia tidak susah, yang penting, kita sedia berkorban," ujarnya.