
PETALING JAYA: Sektor perbankan, utiliti, pembinaan dan teknologi dijangka menjadi antara sektor yang menerajui Bursa Malaysia minggu ini, disokong prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih baik, peningkatan permintaan serta pemangkin berkaitan pelaburan.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, saham sektor industri dan pengguna dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan jangkaan terhadap prestasi Bursa Malaysia dan prospek ekonomi negara.
Katanya, peningkatan permintaan akan menjadi antara faktor yang menyokong prestasi saham industri, manakala sektor berorientasikan domestik termasuk perhotelan dan pengguna dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan.
“Pasaran saham mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi. Selagi pertumbuhan ekonomi kekal positif, pasaran saham juga akan mencerminkan prospek tersebut.
“Malaysia merupakan ekonomi yang berorientasikan eksport, jadi apabila prospek pertumbuhan dan permintaan terhadap eksport bertambah baik, ia akan memberi sokongan kepada pasaran saham,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi mewujudkan momentum yang lebih mampan kepada Bursa Malaysia, khususnya sekiranya pertumbuhan ekonomi negara terus berada pada landasan positif.
Menurutnya, pemulihan pasaran saham Malaysia juga perlu dilihat dalam konteks prestasi pasaran ekuiti global yang semakin baik, walaupun pelabur masih berdepan risiko dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.
“Peningkatan minat terhadap ekuiti Malaysia juga boleh mendorong pengurus dana meningkatkan peruntukan portfolio mereka kepada pasaran tempatan, terutama apabila prospek pulangan dilihat semakin menarik.
“Dalam persekitaran yang mempunyai risiko tertentu, akan ada minat terhadap pasaran saham. Pengurus dana yang mahu meningkatkan prestasi portfolio mereka akan melihat peluang dalam pasaran yang mempunyai prospek pertumbuhan,” jelasnya.
Kim Leng berkata, ekonomi Malaysia berpotensi mencatat pertumbuhan sekitar lima peratus tahun ini berdasarkan tahap kepastian yang semakin tinggi terhadap prospek ekonomi.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) masih dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global, namun pasaran tempatan mempunyai pemangkin tersendiri bagi separuh kedua 2026.
Katanya, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta tema pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi antara pemangkin utama pasaran tempatan.
“Ini dijangka menyokong FBM KLCI untuk bergerak ke arah 1,690 hingga 1,760 mata,” jelasnya.
Aimi Zulhazmi berkata, aliran masuk dana asing dijangka terus meningkat secara sederhana, disokong beberapa faktor termasuk penilaian pasaran yang masih murah, hasil dividen menarik sekitar empat hingga lima peratus, kisah pertumbuhan baharu serta jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, aliran dana asing tersebut dijangka lebih tertumpu kepada sektor perbankan, utiliti, pembinaan dan teknologi.
“Kesimpulannya, persekitaran ‘kurang risiko’ membantu sentimen pasaran. Namun, pasaran akan terus dipacu oleh pemangkin domestik dan aliran pelaburan langsung asing (FDI) berkaitan infrastruktur serta digital,” katanya.
Beliau berkata, tema pusat data dan AI dijangka terus memberikan sokongan kepada sektor teknologi dan utiliti, manakala pelaksanaan projek di bawah RMK13 berpotensi memberi manfaat kepada sektor pembinaan. – UTUSAN
The post Sektor industri, pengguna terajui Bursa Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.




