Sektor pembuatan Malaysia alami kemerosotan kesan kelemahan jualan semikonduktor global - PublicInvest

Business & Finance
12 Jun 2023 • 3:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor pembuatan Malaysia alami kemerosotan kesan kelemahan jualan semikonduktor global - PublicInvest

azan

12/06/2023 - 15:38

KUALA LUMPUR 12 Jun - Prestasi sektor pembuatan Malaysia sedang mencatatkan kemerosotan kerana ia berkait rapat dengan dengan kadar jualan bulanan semikonduktor global, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

Firma itu berkata, ia mencatatkan pertumbuhan negatif sebnayak 21.6% dari tahun ke tahun pada April tahun ini.

Katanya, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia telah melaraskan unjurannya bagi menggambarkan penurunan dua angka yang lebih ketara sebanyak 10.3% (AS$515 bilion atau RM2.38 trilion) dalam pasaran semikonduktor seluruh dunia pada 2023, berikutan pertumbuhan sederhana sebanyak 3.3% pada 2022.

Bagaimanapun, pemulihan kukuh dijangka pada 2024, dengan anggaran kadar pertumbuhan 11.8%.

"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia dijangka sejajar dengan arah aliran global, dan berterusan jatuh di bawah ambang pengembangan 50 mata,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini

Firma itu berkata, PMI global kekal di bawah 49.6 pada Mei tahun ini, mencerminkan keyakinan pengeluar yang berkurangan pada paras terendah sejak Disember.

Firma itu berkata, prospek industri kekal suram, dengan penurunan mendadak dalam pesanan eksport baharu.

Selain itu, perniagaan di Malaysia menghadapi keadaan yang mencabar, di dalam dan di luar negara, dengan tempahan yang semakin berkurangan.

Mengenai indeks sentimen perniagaan, ia terus kekal di bawah ambang penting 100, berada pada 95.4 pada suku pertama tahun ini, berbanding 85.9 pada suku sebelumnya. - DagangNews.com