RHB Investment unjur jualan hartanah kekal stabil pada tahun ini
azan
12/06/2023 - 11:29
KUALA LUMPUR 12 Jun - RHB Investment mengunjurkan jualan hartanah kekal stabil tahun ini selaras dengan pasaran ekuiti yang lebih luas.
Bagaimanapun, firma itu berkata, sentimen terhadap sektor itu kekal tidak menentu memandangkan pilihan raya negeri akan berlangsung dalam jangka masa terdekat selain kelemahan ringgit.
"Kami lebih mengutamakan pemaju perbandaran dan pemilik hartanah pelaburan, dengan pilihan utama kami masih menjadi IOI Properties dan Matrix Consepts," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, unit kediaman tidak terjual jatuh 25% dari tahun ke tahun.
Daripada data urus niaga itu, firma itu berkata,bilangan unit kediaman tidak terjual menurun dengan ketara.
"Bilangan unit yang tidak terjual sepatutnya dapat kekal di bawah paras 30,000 unit pada masa hadapan, kerana pelancaran baharu semakin berkurangan.
"Banyak pemaju tersenarai memberikan perhatian untuk menggulung inventori tidak terjual sepanjang empat hingga lima tahun yang lalu, didorong juga oleh kejayaan Kempen Pemilikan Rumah yang diadakan pada 2020-2021," katanya.
Firma itu berkata, walaupun momentum pasaran hartanah menggalakkan, harga rumah hanya menyaksikan pertumbuhan sederhana 1% hingga 2% dari tahun ke tahun pada tahun lalu.
"Kebimbangan terhadap hartanah tidak terjual memainkan peranan utama dalam mengheret pertumbuhan harga rumah, tetapi kami berpendapat bahawa kebimbangan terhadap kestabilan politik, kekuatan mata wang dan pertumbuhan ekonomi juga merupakan faktor utama yang mempengaruhi penilaian hartanah," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com



