Sektor pengguna dijangka kekal positif didorong pemulihan margin dan pengukuhan ringgit, kata HLIB

16/07/2025 - 17:02
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 16 Julai – Sektor pengguna Malaysia dijangka terus mengekalkan momentum positifnya pada separuh kedua 2025, didorong oleh potensi pemulihan margin hasil penurunan kos bahan mentah serta pengukuhan nilai ringgit, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata, prospek sektor kekal cerah hasil persekitaran makroekonomi yang stabil, pasaran buruh yang kukuh, langkah sokongan fiskal serta perbelanjaan runcit domestik yang terus bertahan.
“Faktor bermusim menjelang akhir tahun serta pemulihan berterusan sektor pelancongan turut dilihat mampu merangsang permintaan pengguna, manakala penilaian saham sektor pengguna yang masih menarik memberikan sokongan tambahan kepada pelabur.
“Prestasi kukuh sektor ini pada suku pertama 2025 (1Q25) sebahagiannya dipacu oleh perbelanjaan perayaan yang tinggi, susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang jatuh dalam tempoh yang sama,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Firma itu berkata, lapan syarikat dalam liputan mereka mencatat keputusan suku tahunan yang sejajar dengan jangkaan, antaranya 99 Speedmart, Aeon, DKSH, Focus Point, Mr DIY, Nestle, Panasonic dan QL Resources.
“Bagaimanapun, dua syarikat iaitu Berjaya Food dan Oriental Kopi mencatat prestasi di bawah jangkaan. Berjaya Food terus terkesan akibat boikot pengguna terhadap Starbucks, manakala Oriental Kopi berdepan jualan yang kurang memberangsangkan.
“Keputusan ini mengukuhkan pandangan kami bahawa asas penggunaan domestik kekal kukuh, dan syarikat yang terdedah kepada sektor runcit mampu memanfaatkan permintaan bermusim serta momentum perbelanjaan yang berterusan,” kata HLIB.
HLIB turut menjelaskan bahawa harga komoditi utama seperti gula, gandum, kopi dan minyak sawit menunjukkan trend yang lebih stabil, sekali gus menyokong pemulihan margin bagi pemain makanan dan minuman (F&B).
“Potensi leverage operasi adalah besar, khususnya bagi syarikat yang telah melaksanakan pelarasan harga dalam tempoh dua tahun lalu.
“Pengukuhan nilai ringgit pula dilihat memberi manfaat kepada pemain barangan keperluan pengguna, memandangkan sebahagian besar kos bahan mentah mereka dinilai dalam dolar AS.
“Perkembangan ini memberikan penampan terhadap turun naik kos input serta boleh meningkatkan kecekapan kos import bagi peruncit dan pengeluar makanan asas,” katanya.
Mengulas kesan pelaksanaan SST yang diperluas, HLIB berpandangan peruncit dyang banyak beroperasi di pusat beli-belah mungkin terkesan secara sederhana.
Namun, kesan itu dijangka terkawal kerana sewaan menyumbang sebahagian kecil kos operasi, pelarasan harga baru-baru ini memberikan ruang, dan barangan asas seperti beras, sayur-sayuran, tepung, ayam dan gula dikecualikan daripada SST.
Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan “Overweight” terhadap sektor pengguna, disokong angin belakang daripada Belanjawan 2026 serta pemulihan pelancongan.
Antara pilihan utama HLIB ialah 99 Speedmart, Aeon dan Focus Point, berikutan prestasi pendapatan mereka yang kukuh, disokong rancangan pengembangan dan kekuatan jenama masing-masing.- DagangNews.com
standard

