amree23/02/2026 - 09:30 PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump menunjukkan dokumen mengenai Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025. - Foto kredit Pejabat Perdana Menteri Oleh Amree Ahmad amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Feb — Tindakan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan tarif timbal balik di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) penting dalam perdagangan global.
Bagaimanapun menurut MBSB Research, risiko baharu berikutan penghakiman pada 20 Februari 2026 kini tertumpu kepada tarif tertentu yang boleh memberi kesan langsung sektor semikonduktor Malaysia.
Kata firma itu, dengan keputusan majoriti 6–3, mahkamah tertinggi AS ini memutuskan IEEPA tidak memberi kuasa kepada Presiden Donald Trump mengenakan tarif secara unilateral pada tahun lepas.
"Langkah Mahkamah Agung negara itu sekali gus membatalkan tarif timbal balik dan kecemasan yang diperkenalkan pentadbiran Trump sejak 2 April 2025," katanya dalam nota analisis hari ini.
Rumah Putih namun bertindak pantas mengumumkan tarif import global baharu 15% di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, yang sah dalam tempoh maksimum 150 hari kecuali dilanjutkan Kongres AS.
MBSB Research menjelaskan yang tarif bukan berasaskan IEEPA seperti Seksyen 232 untuk keselamatan negara, dan Seksyen 301 bagi amalan perdagangan tidak adil itu masih kekal boleh dilaksanakan.
Ini jelas firma penyelidikan itu, termasuk segala import produk keluli, aluminium, automotif serta barangan berkaitan China, walaupun keputusan mahkamah mengehadkan kuasa tarif menyeluruh Presiden.
"Pentadbiran AS sebenarnya masih memiliki instrumen secara lebih sempit, tetapi agresif seperti penggunaan Seksyen 232 dan 301 yang berpotensi menyasarkan terus industri strategik,” katanya.
Situasi itu kata MBSB Research, bakal meningkatkan kebimbangan sektor semikonduktor, elektronik termaju, teknologi hijau dan mineral kritikal yang boleh dijadikan sasaran AS seterusnya pula.
Keadaan tersebut tambah firma berkenaan, merupakan satu risiko ketara kerana Malaysia merupakan pemain yang penting dalam rantaian bekalan global cip dan produk elektrik dan elektronik (E&E).
Bagi Malaysia, kadar tarif global 15% adalah lebih rendah berbanding 19% dipersetujui menerusi Perjanjian Tarif Timbal Balik (ART) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025.
"Ini mengurangkan tekanan daya saing eksport, namun kami tidak menolak Malaysia menilai semula terma ART susulan perubahan asas perundangan selepas keputusan mahkamah itu," kata MBSB Research.
Sektor E&E Malaysia jelasnya, kekal berdaya tahan setakat ini, dengan eksport berkembang 18.3% pada 2025, manakala penghantaran ke AS, yang mewakili 62.5% eksport Malaysia; meningkat 21.2%.
Prestasi pada Januari 2026 juga tambah firma tersebut, kukuh dengan lonjakan 47.5% tahun ke tahun (YoY) ke AS, sebahagiannya didorong aktiviti penghantaran awal menjelang potensi tarif sektoral.
Walaupun prospek dilihat positif, MBSB Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2026 pada 4.6%, mengambil kira ketidaktentuan berterusan dasar perdagangan AS.
"Dari sudut pasaran, keputusan Mahkamah Agung itu baik kepada ekuiti dalam jangka pendek, disokong jangkaan inflasi AS terkawal serta pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS," katanya.
Firma itu namun mengekalkan sasaran indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) pada 2026 iaitu paras 1,850 mata, dengan mengambil kira isu ketidaktentuan tarif dan ketegangan geopolitik.
Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan cadangan saham bertema domestik dan pembangunan pusat data, antaranya Gamuda Berhad, Samaiden Group Berhad, Pekat Group Berhad, YTL Power International.
Ia turut memilih saham berpotensi seperti AEON Co (M) Berhad, Tenaga Nasional Berhad, RHB Bank Berhad, Leong Hup International, 99 Speedmart Retail Holdings Berhad dan Public Bank Berhad.
"Ketidaktentuan tindakan lanjut pentadbiran AS menyebabkan kami belum mempertimbangkan saham pengeksport secara agresif buat masa ini, walaupun reaksi awal pasaran mungkin positif," katanya.
Secara keseluruhan, keputusan mahkamah AS itu memberi kelegaan kepada perdagangan global, namun peralihan kepada tarif sektoral menjadi risiko ke atas ekonomi terbuka seperti Malaysia. - DagangNews.com

