Sektor semikonduktor Malaysia terus berkembang, TA Securities kekal saranan Overweight
herman
10/06/2024 - 12:18
KUALA LUMPUR 10 Jun - Sektor semikonduktor Malaysia dijangka terus berkembang disokong oleh pemulihan permintaan global yang dijangka sihat dan peluang penyaluran perdagangan yang semakin meningkat sebagai hasil daripada strategi China Plus One.
Menurut TA Securities, Organisasi Statstik Perdagangan Semikonduktor Sedunia baru-baru ini telah menyemak semula unjuran jualan semikonduktor global dengan jualan bagi tahun 2024 kini dijangka meningkat kepada AS$611.0 bilion (+16.0% YoY).
Kata firma penyelidikan itu, ramalan sebelum ini ialah sebanyak AS$588.4 bilion, yang merupakan pertumbuhan 13.1% secara perbandingan tahun ke tahun (YoY).
"Pertumbuhan yang kukuh akan didorong oleh pertumbuhan dua digit yang mantap dari kategori memori dan logik.
"Kawasan Amerika dan Asia Pasifik dijangka mengalami pertumbuhan yang besar, dengan peningkatan yang diramalkan masing-masing sebanyak 25.1% dan 17.5%.

"Sebaliknya, Eropah dijangkakan melihat pertumbuhan minimum sebanyak 0.5% dan Jepun dijangkakan mengalami penurunan sedikit sebanyak 1.1%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan Overweight terhadap sektor semikonduktor dengan saranan Beli kepada Inari Amerton Berhad pada harga sasaran (TP) RM4.30 sesaham.
"Sementara itu, kami mengekalkan saranan Hold untuk Unisem (TP: RM4.37), Malaysia Pacific Industries (TP: RM41.10), dan Elsoft Research (TP: RM0.58)," ujarnya.
Namun begitu, TA Securities membangkitkan beberapa risiko penurunan pada penarafannya, termasuk ketegangan geopolitik yang memuncak yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan rantaian bekalan yang terganggu, jualan yang lebih lemah daripada jangkaan, dan kelemahan dolar AS berbanding ringgit. - DagangNews.com

