amree24/04/2026 - 15:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 April – Kerajaan memberi jaminan terus memperhebat sektor strategik domestik bagi menangani isu keselamatan stok bahan api dan makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, langkah itu dilihat sebagai kritikal susulan tekanan berterusan ketegangan geopolitik, kenaikan kos input dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan All Cosmos Industries Sdn Bhd (ACI) di Pasir Gudang, Johor hari ini, bagi meninjau situasi semasa.
Lawatan ini jelas Kementerian Ekonomi dalam kenyataan, turut melihat sendiri perkembangan sektor tenaga, gas dan baja tempatan, serta isu luaran yang memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

"PIC memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia domestik, yang menjadi komponen utama dalam pengeluaran pelbagai produk harian," jelasnya lagi.
Kompleks itu memiliki kapasiti penapisan 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan metrik setahun, sekali gus menyokong keselamatan tenaga negara dan industri hiliran.
Lawatan Akmal Nasrullah itu tambah kementerian berkenaan, turut meneliti pembangunan inisiatif Hab Biobahan Api di Pengerang selaras dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Kemajuan hab ini termasuk usaha memperluaskan penggunaan biodiesel B15 sebagai langkah praktikal bagi menjamin dan memanjangkan bekalan tenaga dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

"Selain menjamin bekalan tenaga, pembangunan PIC juga menyumbang kepada ekonomi melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan vendor tempatan serta pemindahan teknologi," katanya.
Sementara itu, lawatan ke ACI pula lebih memberi fokus kepada cabaran industri baja tempatan, termasuk ketidaktentuan bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik dan tekanan harga input.
Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi menekankan kepentingan pengeluaran baja bio-organik sebagai alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan bekalan lebih mampan.
Secara keseluruhan, pendekatan bersepadu antara kerajaan dan pemain industri dilihat penting dalam memastikan keterjaminan bekalan negara terus terpelihara serta menyokong ketahanan ekonomi. - DagangNews.com





