Sektor teknologi dan industri jadi tumpuan selepas FBM KLCI diperluas kepada 50 kaunter - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor teknologi dan industri jadi tumpuan selepas FBM KLCI diperluas kepada 50 kaunter - CIMB Securities Image from: Sektor teknologi dan industri jadi tumpuan selepas FBM KLCI diperluas kepada 50 kaunter - CIMB Securities amree08/09/2026 - 11:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept — Sektor teknologi dan perindustrian berpotensi meraih banyak perhatian pelabur selepas indeks penanda aras FBM KLCI diperluas daripada 30 kepada 50 kaunter, serta mengurangkan dominasi sektor kewangan dan utiliti dalam indeks utama Bursa Malaysia, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata pertambahan tersebut dijangka meningkatkan kepelbagaian sektor dengan memberikan bahagian perwakilan yang lebih besar kepada sektor perindustrian, teknologi, barangan pengguna pilihan, tenaga, hartanah dan barangan pengguna asas.

 

Perubahan tersebut dilihat positif dari sudut struktur pasaran kerana FBM KLCI yang lebih pelbagai berpeluang menjadi penanda aras mencerminkan keseluruhan ekonomi Malaysia, selain meluaskan pilihan pendedahan pelabur institusi di luar kelompok syarikat bermodal besar sedia ada.

 

"Simulasi terdahulu dilaksanakan kami menganggarkan 20 kaunter baharu itu boleh mewakili kira-kira 15.6% daripada FBM KLCI yang diperluaskan apabila penyertaan penuh dicapai," jelas CIMB Securities dalam nota analisisnya.

 

Menurut firma berkenaan lagi, perluasan tersebut dijangka mengurangkan pemberat sektor kewangan dan utiliti, manakala sektor teknologi serta perindustrian antara segmen yang dilihat sebagai berpotensi mendapat perwakilan lebih besar dalam indeks berkenaan.

 

Bagaimanapun ujarnya, impak aliran dana dalam tempoh terdekat dijangka lebih bersifat khusus kepada kaunter tertentu berbanding keseluruhan pasaran, memandangkan saiz aset di bawah pengurusan pasif yang menjejaki FBM KLCI masih relatif kecil.

 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

Kesan tersebut juga kata CIMB Securities, tidak akan berlaku secara mendadak kerana kemasukan kaunter baharu bakal dilaksanakan secara berperingkat, iaitu kira-kira 50% pada Disember 2026 sebelum mencapai penyertaan penuh 100% pada Jun 2027.

 

"Pihak pengurusan FTSE sendiri sudah menjelaskan bahawa permodalan pasaran penuh akan digunakan bagi menentukan pemilihan akhir kaunter, manakala kaedah 'free float' atau pengapungan bebas akan menentukan pemberat setiap saham dalam indeks," tambahnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, FBM70 akan dikurangkan kepada 50 kaunter dan dinamakan semula sebagai FBM Mid Cap Index mulai 21 Disember 2026, sementara FBM100 masih lagi dikekalkan tanpa sebarang perubahan jumlah kaunter didagangkan.

 

Spesifikasi derivatif juga jelas CIMB Securities, adalahtidak berubah, manakala FTSE Russell sedang mengkaji kemungkinan untuk melonggarkan ambang kemasukan pantas bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang bermodal saiz besar.

 

Justeru, firma penyelidikan tersebut menjangkakan butiran lanjut mengenai perubahan struktur itu akan dimasukkan dalam kemas kini 'FTSE Bursa Malaysia Index Series Ground Rules' selepas dimuktamadkan pada akhir September 2026.

 

Secara keseluruhan, ia kekal positif kerana perluasan itu berpotensi menjadikan FBM KLCI lebih pelbagai, sekali gus memberi ruang lebih besar kepada sektor teknologi dan industri dalam penanda aras utama pasaran saham Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved