amree08/09/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept — Isu ketidaktentuan sentimen pasaran global tidak menjejaskan prospek sektor teknologi, dengan prestasi kewangan bagi suku kedua (Q2) yang positif memberi keyakinan terhadap pertumbuhan permintaan dan perluasan kapasiti menuju 2027.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota analisisnya berkata, daripada sejumlah 20 syarikat teknologi yang di bawah liputannya, hanya enam mencatat keputusan di bawah jangkaan, manakala 11 lagi menepati ramalan dan tiga pula mengatasi konsensus.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi syarikat-syarikat teknologi utama antarabangsa yang semakin bertambah baik sepanjang suku berkenaan turut meningkatkan tahap keyakinan pelabur terhadap keterlihatan pendapatan sektor dalam tempoh sederhana.
"Antara perkembangan paling ketara ialah Nvidia yang mengunjurkan pertumbuhan hasil sebanyak 70% bagi tahun kewangan 2028 (FY28), selain memberi gambaran pertumbuhan tersebut lebih dipengaruhi kekangan bekalan berbanding kelemahan permintaan," katanya.
Tambah HLIB, dalam perkembangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), Broadcom pula menjangkakan hasil meningkat dua kali ganda bagi setiap dua tahun akan datang, disokong permintaan kukuh terhadap cip yang disesuaikan daripada banyak syarikat berskala besar.
Pada masa sama, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan tiga pengeluar memori utama dunia meningkatkan perbelanjaan modal (capex) serta meneruskan perluasan kapasiti secara agresif, yang bakal memberi limpahan positif rantaian bekalan semikonduktor.

Ujar firma itu, perkembangan tersebut mula dapat dilihat menerusi prospek diberikan para pemain teknologi Malaysia, khususnya syarikat yang terlibat dalam peralatan dan kejuruteraan ketepatan, optik dan fotonik, semikonduktor tenaga serta cakera keras (HDD).
"Bagaimanapun, kami melihat beberapa risiko jangka pendek perlu diberi perhatian, termasuk potensi tawaran awam permulaan (IPO) Anthropic yang bakal menjadi petunjuk awal keupayaan industri AI menjana nilai komersial, selain sentimen kadar faedah," kata HLIB.
Risiko itu tidak dilihat mampu mencetuskan pengurangan ketara terhadap pendedahan pelabur kepada sektor teknologi, memandangkan tekanan inflasi berpotensi reda dan peluang berada dalam kedudukan kurang wajaran ketika kitaran capex sedang berkembang tinggi.
Sehubungan itu, ia mengekalkan pandangan ‘overweight’ terhadap sektor teknologi, disokong kitaran peningkatan semikonduktor yang semakin meluas serta momentum pendapatan kekal kukuh, dengan beberapa saham menjadi pilihan utama firma tersebut.
Antaranya tambah HLIB, ialah ViTrox Corp Berhad, UWC Berhad dan Sam Engineering & Equipment Berhad, yang dilihat masih lagi mempunyai keterlihatan baik dari segi pendapatan secara lebih kukuh serta momentum semakan unjuran semakin positif.
"Kami turut menyifatkan kelemahan terkini saham ITMAX System Berhad sebagai peluang untuk mengumpul, memandangkan tekanan itu lebih berkait kebimbangan umum terhadap saham yang ada kaitan politik, sedangkan prestasi hasil kekal kukuh," katanya. - DagangNews.com






