Sektor utiliti hambar pada suku keempat 2023, Kenanga Research turunkan penarafan kepada ‘neutral’

Business & Finance
11 Mar 2024 • 11:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sektor utiliti hambar pada suku keempat 2023, Kenanga Research turunkan penarafan kepada ‘neutral’

diyana

11/03/2024 - 11:48

KUALA LUMPUR 11 Mac - Kenanga Research menurunkan penarafan sektor utiliti kepada ‘neutral’ daripada ‘overweight’ berikutan pendapatan sektor pada suku keempat 2023 baru-baru ini hambar selepas tiga syarikat mencatat prestasi yang menepati jangkaan, manakala dua lagi meleset.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa Tenaga Nasional Berhad (market perform, harga sasaran [TP]: RM11.40) dilanda kos bahan api yang tinggi manakala Malakoff Corp Berhad (market perform, TP: 68 sen) diheret sebahagian besar kerugian daripada syarikat bersekutunya di Bahrain.

Sebaliknya, YTL Power International Berhad (outperform; TP: RM4.10) mencatatkan suku yang kukuh tetapi dengan penurunan pendapatan secara berturut-turut.

Sementara itu, pendapatan Petronas Gas Berhad (market perform; TP: RM17.80) dirangsang oleh kenaikan surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) manakala pendapatan Gas Malaysia Berhad (market perform; TP: RM3.33) berkurangan memandangkan harga gas kembali normal.

“Meskipun pendapatan TNB dan Malakoff lemah, kami percaya daya tahan pendapatan jangka panjang mereka adalah utuh disokong oleh aset terkawal mereka.

“Dengan harga arang batu yang stabil, TNB menyaksikan margin bahan api positif pertamanya pada 4QFY23 sejak 4QFY22 manakala ICPT terkini sebanyak RM2.11 bilion adalah 67% daripada paras tertinggi RM6.4 bilion pada 4QFY22.

“Begitu juga Malakoff yang melaporkan margin bahan api positif pertama dalam setahun apabila harga arang batu stabil,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sebaliknya, Kenanga Research berkata Petronas Gas tidak menghadapi penggunaan gas dalaman yang tinggi (kos input) seperti pada suku tahun sebelumnya untuk perniagaan terkawal serta segmen utiliti tidak dikawal selia. Malahan, segmen utilitinya mendapat manfaat daripada kenaikan surcaj ICPT.

Sementara itu, Gas Malaysia mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi, sebahagian besarnya didorong jumlah jualan lebih tinggi tetapi marginnya dimampatkan ekoran penurunan harga gas, katanya.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa YTL Power masih mencatatkan suku yang kukuh tetapi dengan penurunan suku ke suku sebanyak 9% selepas pendapatan PowerSeraya memuncak ketika harga runcit kembali normal.

Meskipun menurunkan penarafan sektor, Kenanga Research berkata ia terus menyukai sektor ini kerana pertahanan dan daya tahan pendapatannya disokong oleh aset terkawal yang menjana aliran tunai berulang untuk memperoleh hasil dividen menarik sebanyak 3% hingga 6%.

“Pilihan utama sektor kami ialah YTL Power memandangkan asas aset terkawal yang dipelbagaikan secara geografi, prospek pendapatan jangka pendek PowerSeraya yang kukuh disokong oleh inventori gas yang dikunci pada harga rendah dan potensi pertumbuhan jangka panjangnya dipacu oleh pusat data dan usaha niaga perbankan digitalnya,” ujar firma tersebut. - DagangNews.com