Sektor utiliti, pembinaan jadi tumpuan pelabur di bursa

Business & Finance
26 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sektor utiliti, pembinaan jadi tumpuan pelabur di bursa

PETALING JAYA: Sektor utiliti, pembinaan, pusat data dan perbankan dijangka menjadi tumpuan pelabur di Bursa Malaysia minggu ini, dengan peluang pembelian ketika harga rendah turut wujud dalam saham teknologi terpilih.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, saham utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) berpotensi menarik minat pelabur berikutan sifat defensifnya ketika pasaran tidak menentu,

Katanya, sektor pembinaan dan pusat data pula terus mendapat perhatian susulan pelaksanaan projek infrastruktur serta pertumbuhan pelaburan pusat data di Malaysia.

“Antara kaunter pembinaan yang boleh diperhatikan ialah Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan IJM Corporation Berhad.

“Saham teknologi dan elektronik seperti Inari Amertron Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad dan NationGate Holdings Berhad juga berpotensi menarik pembelian selepas mengalami pembetulan harga ketara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sentimen berhati-hati terhadap saham kecerdasan buatan (AI) dan teknologi global masih boleh mempengaruhi sektor berke­naan.

Dalam sektor tenaga serta minyak dan gas, beliau berkata, harga minyak mentah yang kekal tinggi berpotensi menyokong minat terhadap saham Dialog Group Berhad, Yinson Holdings Berhad dan MISC Berhad.

“Sementara itu, saham perbankan seperti Malayan Banking Berhad (Maybank), Public Bank Berhad, CIMB Group Holdings Berhad dan RHB Bank Berhad berpotensi menerima aktiviti pembelian ketika harga rendah berikutan penilaian yang lebih menarik, meskipun tekanan jualan asing masih ketara.

“Saya menjangkakan FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) bergerak dalam julat 1,590 hingga 1,630 mata minggu ini, dengan sentimen kekal berhati-hati susulan aliran keluar dana asing dan ketidaktentuan pasaran global.

“Pemulihan lebih kukuh hanya berpotensi berlaku sekiranya aliran keluar dana asing berkurangan dan sentimen global bertambah baik,” ujar­nya.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelabur dijangka mengambil pendekatan pembelian terpilih selepas pembetulan pasaran minggu lalu, dengan memberi keutamaan kepada saham yang mempunyai penilaian menarik dan asas perniagaan kukuh.

Beliau berkata, sektor perbankan kekal menarik berikutan penilaian saham yang lebih rendah selepas tekanan jualan asing, selain prospek pendapatan yang masih disokong daya tahan ekonomi domestik dan inflasi terkawal.

“Antara kaunter yang menjadi pilihan ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad dan Public Bank Berhad.

“Sementara itu, sektor pembinaan dan utiliti turut dijangka mendapat perhatian berikutan peruntukan pembangunan RM83 bilion dalam Belanjawan 2027, termasuk pengembalian klausa perubahan harga (VOP) yang boleh membantu kontraktor mengurus perubahan kos projek,” jelasnya.

Aimi Zulhazmi berkata, pelaburan TNB berjumlah RM15 bilion bagi pembangunan grid dan taman solar kerajaan turut membuka peluang kepada syarikat berkaitan.

Dalam sektor pusat data dan teknologi, beliau berkata, pelabur perlu lebih selektif walaupun permintaan terhadap kontrak pusat data masih rancak.

Beliau berkata, Pekat Group Berhad kekal antara kaunter yang boleh diperhatikan dengan buku pesanan RM936 juta, termasuk kontrak perlindungan kilat pusat data bernilai RM57.2 juta.

“Pelabur perlu membezakan syarikat yang mempunyai kontrak dan sokongan perniagaan sebenar daripada kaunter yang hanya mendapat perhatian berdasarkan tema AI, ketika kebimbangan terhadap kemampanan pelaburan AI terus menekan sentimen saham teknologi glo­bal,” ujarnya.

Mengulas prospek pasaran, Aimi menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,600 hingga 1,620 mata minggu ini, dengan kecenderungan positif sederhana sekiranya aktiviti pengumpulan saham berasas kukuh berterusan. – UTUSAN

The post Sektor utiliti, pembinaan jadi tumpuan pelabur di bursa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved