hamden12/10/2026 - 09:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Pelabur asing meneruskan jualan bersih saham di Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM358.1 juta, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan berkata, pelabur asing merekodkan jualan bersih pada kesemua lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan, dengan aliran keluar terbesar dicatatkan pada Khamis sebanyak RM194.7 juta.
Ia diikuti Isnin dengan aliran keluar bersih RM79.6 juta, Rabu (RM63.4 juta), Jumaat (RM14 juta) dan Selasa (RM6.4 juta).
Dari segi sektor, teknologi mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing sebanyak RM240 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM102 juta serta pengangkutan dan logistik sebanyak RM74 juta.
Sebaliknya, sektor perkhidmatan kewangan merekodkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM532.2 juta, diikuti utiliti sebanyak RM162.9 juta dan perladangan sebanyak RM116.2 juta.
Sementara itu, institusi tempatan melanjutkan pembelian bersih saham untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM99.9 juta.
Pelabur runcit turut meneruskan pembelian bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM258.2 juta.
Dari segi aktiviti dagangan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat merentas ketiga-tiga kategori pelabur.
ADTV pelabur runcit meningkat 9.7%, manakala institusi tempatan mencatatkan kenaikan 14.4%. Bagi institusi asing, ADTV meningkat 1.4%. - DagangNews.com






