KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sekumpulan pelajar mula berarak dari Taman Tugu ke hadapan bangunan Parlimen bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) pada Isnin.
Perarakan demonstrasi yang bermula pada jam 9.30 pagi itu melibatkan lebih 30 kumpulan pelajar, termasuk Persatuan Anak Muda Universiti Malaya (UMANY), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM).
Memorandum berhubung tuntutan berkenaan diserahkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi, Hirman Awang@Semail.
**media[3428981]**
Selain itu, beberapa ahli Parlimen turut menerima memorandum berkenaan di hadapan bangunan Parlimen termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Setiausaha Liga Mahasiswa Malaysia, Adam Raiyan berkata, selain pemansuhan AUKU, kerajaan turut digesa supaya menggantikan akta tersebut dengan rangka undang-undang yang lebih progresif, inklusif dan demokrasi.
“Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) pendidikan tinggi, yang mana akan menubuhkan satu undang-undang baharu bagi menggantikan AUKU dengan rangka yang menjamin kebebasan akademik dan kebebasan bersuara pelajar serta pensyarah.
“Kedua, memberi autonomi penuh kepada kesatuan pelajar termasuk urusan kewangan.
"Ketiga mewujudkan mekanisme perlindungan hak mahasiswa dengan standard tatatertib yang adil,” katanya ketika sidang media pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Universiti Malaya (UM) mengingatkan pelajar agar mempertimbangkan aspek keselamatan diri dan komitmen akademik sebelum menyertai sebarang aktiviti luar kampus.
Universiti itu juga mengambil maklum berhubung perarakan ke Parlimen yang dijadualkan pada Isnin, dipercayai bertujuan mendesak pemansuhan AUKU.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Zamri Radzi berkata, pihak universiti menghormati hak mahasiswa yang peka terhadap isu semasa dan menyuarakan pandangan namun kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara berhemah serta berlandaskan undang-undang.
Ujar Adam, RUU itu juga wajar menggantikan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 55) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).
Menurutnya, ia bertujuan supaya prinsip kebebasan akademik, autonomi institusi dan perlindungan hak pelajar terpakai kepada semua institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Ketiga, kami menuntut penubuhan jawatankuasa khas akta pasca AUKU yang dianggotai sepenuhnya oleh mahasiswa tanpa sebarang dominasi atau campur tangan daripada pentadbiran parti politik mahupun kerajaan,” ujarnya.





