Sekumpulan Pelajar Ditahan Dipercayai Bergaduh Tidak Puas Hati Dibaling Pemadam

25 May 2023 • 10:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Sekumpulan Pelajar Ditahan Dipercayai Bergaduh Tidak Puas Hati Dibaling Pemadam

JOHOR BAHRU, 25 Mei (Bernama) — Polis menahan sekumpulan pelajar tingkatan tiga kerana dipercayai terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Kempas, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata pergaduhan yang berlaku pada 3.43 petang itu turut menyebabkan beberapa pelajar menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, di sini kerana mengalami kecederaan luka di kepala serta lebam di kaki dan tangan.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang daripada pelajar yang telah dibaling pemadam pensil oleh rakan sekelasnya, dua hari sebelum pergaduhan.

“Susulan itu, pihak polis telah membuat beberapa tangkapan dalam kalangan pelajar yang dipercayai terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Balveer menasihati agar masyarakat tidak mensensasikan isu tersebut kerana ia boleh memberi implikasi kepada keharmonian berikutan siasatan masih berjalan.

“Polis menasihati masyarakat agar bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan perbuatan melulu sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Semalam tular beberapa keping gambar pelajar sekolah dengan ada yang berlumuran darah di aplikasi WhatsApp yang mendakwa terdapat kejadian gaduh melibatkan sekumpulan pelajar sekolah di Kempas.

Sumber: BERNAMA