
Sekurang-kurangnya 21 Terbunuh Dalam Serangan Udara Terbaru Di Rafah
Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam serangan udara terbaru yang dilancarkan Israel di barat bandar Rafah pada Selasa, lapor AFP yang memetik kenyataan Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Pegawai kanan agensi itu, Mohammad al-Mughyyir berkata, serangan berkenaan berlaku berdekatan kawasan khemah yang menempatkan pelarian.
Terdahulu, serangan udara oleh Israel pada Ahad di kawasan khemah pelarian di bandar itu turut meragut sekurang-kurangnya 45 nyawa rakyat Palestin.
Menurut AFP, Israel mula melancarkan serangan di Rafah sejak awal bulan ini, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap keadaan kira-kira 1.4 juta orang awam Palestin yang berlindung di sana.
Sejak itu, kira-kira satu juta orang awam sudah meninggalkan bandar berkenaan, lapor Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa.
Menurut AFP lagi, Israel juga turut menguasai bahagian Palestin di lintasan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza.
Israel nafi lancar serangan udara yang pada Selasa
Menerusi kemas kini terbaharu AFP, agensi berita itu melaporkan bahawa Israel bagaimanapun menafikan pihaknya telah melancarkan serangan udara ke atas ‘kawasan kemanusiaan’ yang terletak di barat Rafah itu.
“Tentera Israel tidak melancarkan serangan ke atas ‘kawasan kemanusiaan’ di Al-Mawasi,” kata Israel.
Al-Mawasi merujuk kawasan yang dinyatakan sebagai tempat perlindungan pelarian Rafah sejak Israel melancarkan operasi darat pada 7 Mei.
Sumber: AFP
The post Sekurang-kurangnya 21 Terbunuh Dalam Serangan Udara Terbaru Di Rafah appeared first on Siakap Keli.


