‘Sel kanser merebak ke otak, kami harap keajaiban’

Health & Fitness
11 Oct 2026 • 9:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sel kanser merebak ke otak, kami harap keajaiban’

KLUANG – Hati ibu bapa mana yang tidak luluh apabila dimaklumkan anak kecil mereka yang menghidap kanser mata tahap empat kini mempunyai peluang untuk sembuh yang sangat tipis selepas sel kanser berkenaan merebak hingga ke otak.

Itu kenyataan pahit yang terpaksa diterima Muhamad Syukri Abdul Samad, 35, dan isterinya, Noraini A. Wahab, 31, apabila dimaklumkan bahawa mereka juga perlu membawa pulang ke rumah anak bongsu mereka, Mohamad Danish Fayyadh, yang kini berusia setahun lima bulan.

Danish mula diserang kanser mata ketika berusia empat bulan sebelum penyakit itu semakin serius dan kini berada pada tahap keempat.

Muhamad Syukri berkata, mereka sekeluarga hanya mampu berserah kepada Allah selepas dimaklumkan peluang untuk anaknya pulih seperti sedia kala kini semakin sukar.

“Doktor menyuruh kami membawa Danish pulang kerana peluang untuk dia sembuh sangat tipis. Kami hanya mampu berserah kepada Allah tentang usianya.

“Sel kanser itu sudah merebak hingga ke otak. Jika diteruskan dengan rawatan kemoterapi, ia dikatakan tidak lagi mampu membantu menyembuhkannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurutnya, buat masa ini, mereka hanya mendapatkan ubat daripada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, sebagai persediaan sekiranya Danish mengalami serangan sawan, muntah atau keadaan lain yang memerlukan rawatan segera.

Katanya, sebagai ibu bapa, mereka masih menyimpan harapan agar berlaku keajaiban buat anak kecil itu, meskipun terpaksa menerima hakikat bahawa peluang untuknya sembuh semakin tipis.

“Kami hanya mengharapkan doa orang ramai dan keajaiban daripada Allah supaya Danish dapat hidup lebih lama.

“Kalau boleh, kami mahu dia sembuh dan kembali sihat se­perti kanak-kanak lain seusia­nya,” katanya ketika menerima sumbangan barangan dapur dan keperluan harian daripada Pasaraya Econsave Kluang menerusi usaha Kelab D’ Kluang di kediaman keluarganya di Taman Sri Jaya, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Kelab D’ Kluang, Md Norhalim Md Amin berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai penderitaan keluarga berkenaan menerusi laporan Kosmo! pada Khamis lalu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Muhamad Syukri di talian 014-913 3958.

The post ‘Sel kanser merebak ke otak, kami harap keajaiban’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved