Selalu Hafal 5 Prinsip Je? 2 Pakar Ini Dedah Ramai Terlepas Pandang ‘Mukadimah’ Rukun Negara

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 11:41 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Anna

Sejak zaman sekolah rendah lagi, kita semua memang dah terbiasa angkat tangan dan melafazkan ikrar lima prinsip Rukun Negara setiap kali perhimpunan pagi. 

Tapi sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang terlepas pandang bahagian paling penting iaitu Mukadimah Rukun Negara.

Perkara ini mendapat perhatian dua tokoh akademik seperti Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Samsudin serta Pakar Perlembagaan Persekutuan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz. 

Kedua-dua pakar ini tampil berkongsi pandangan mengapa masyarakat hari ini perlu kembali meneliti dan menghayati teks berkenaan secara menyeluruh.

Mukadimah Gariskan 5 Cita-Cita Besar, Bukan Sekadar Teks Pengenalan

perpaduan kaum

Menurut Dr Mohd Samsudin, Mukadimah dan lima prinsip Rukun Negara sebenarnya adalah satu kesatuan yang tidak boleh dipisahkan sama sekali sejak ia diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 susulan peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau teks Mukadimah itulah yang menggariskan lima cita-cita besar pembinaan negara bangsa Malaysia.

Cita-cita tersebut merangkumi usaha mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil, bersikap terbuka terhadap kepelbagaian tradisi budaya, serta membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi moden. 

Bagi beliau, lima prinsip yang kita hafal selama ini hanyalah landasan nilai untuk merealisasikan matlamat besar berkenaan.

“Dalam konteks ini, Mukadimah Rukun Negara mempunyai kedudukan yang amat penting kerana menjadi asas kepada hala tuju dan cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia.

“Mukadimah bukan sekadar kata pendahuluan kepada lima prinsip Rukun Negara, sebaliknya menggariskan aspirasi negara untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mewujudkan masyarakat yang adil, bersikap liberal terhadap kepelbagaian tradisi kebudayaan serta membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi. 

“Lima prinsip Rukun Negara pula menjadi landasan nilai untuk merealisasikan cita-cita tersebut.” 

Realiti Semasa Dah Berubah, Bahasa Perlu Diselaraskan

Prinsip rukun negara

Sementara itu, Dr Shamrahayu berpandangan bahawa realiti kehidupan hari ini sudah jauh berubah berbanding tahun 1970 hasil kepesatan globalisasi, migrasi serta kemajuan teknologi.

Menyedari perubahan corak pemikiran masyarakat, beliau melihat wujud keperluan untuk menserasikan laras bahasa dan istilah Mukadimah agar falsafah kenegaraan ini kekal relevan dan mudah difahami oleh generasi muda.

Langkah ini termasuklah menjelaskan konsep perkataan seperti ‘liberal’ dalam konteks kepelbagaian tradisi budaya serta memperkasakan aspirasi masyarakat progresif yang berdaya saing dan berinovasi. 

Beliau turut mencadangkan pembangunan sebuah Dokumen Huraian Rukun Negara bagi memperincikan maksud setiap aspirasi mengikut konteks semasa supaya lebih mudah diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Penyesuaian Rukun Negara bukan bermaksud mengubah sejarah atau mengetepikan hasrat asal pengasasannya. Sebaliknya, ia merupakan usaha memastikan falsafah kenegaraan ini terus relevan dengan perkembangan masyarakat dan keperluan generasi semasa. 

“Rukun Negara tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai dokumen sejarah atau nostalgia, sebaliknya perlu terus menjadi identiti negara, kompas nilai kenegaraan dan panduan bersama dalam membina sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, berdaulat dan progresif.”

Bukan Buat Rukun Negara Baru, Teks Asal Tetap Terpelihara

Walau bagaimanapun, kedua-dua pakar ini menegaskan bahawa usaha penyelarasan tersebut bukanlah bertujuan untuk mengubah sejarah, apatah lagi mencipta Rukun Negara yang baharu. 

Memandangkan dokumen bersejarah ini diwartakan secara rasmi melalui Titah Proklamasi Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terdahulu, sebarang penyesuaian wajib mematuhi kerangka perundangan yang ketat serta merujuk pakar bahasa dan sejarah.

Teks asal tetap dipelihara sebagai rujukan utama demi mengekalkan falsafah asalnya. 

Matlamat akhirnya bukanlah sekadar hafalan di bibir semata-mata, sebaliknya membawa rakyat beralih daripada melafaz kepada memahami, menghayati, dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Sumber: Pendapat Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Mohd Samsudin dan Pakar Perlembagaan Persekutuan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz. 

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved