![Image from: Selalu Pakai Sanggul Palsu Dalam Tudung? Ini Risiko Menurut Pengamal Terapi Holistik [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Sanggul-Palsu-Boleh-Bawa-Risiko-Botak-Iritasi-Sakit-Kepala-Ini-Penjelasan-Pengamal-Terapi-Holistik--800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok apabila seorang pengamal terapi Holistik di Saffron, Dr Nurulasyikin Muda berkongsi keburukan dan implikasi negatif golongan wanita memakai instant bun (sanggul palsu) dalam rutin harian.
Jelasnya, seorang pesakitnya sebelum ini tiba-tiba mengadu mengalami sakit kepala selepas memakai sanggul palsu.
Rasa Tidak Selesa Selepas Pakai Instant Bun Adalah Isyarat Kecemasan
Menurut Dr Nurulasyikin, pemakaian sanggul itu sebenarnya tidak bagus. Ini kerana ia akan menarik dan membuatkan rambut berasa tegang serta tidak selesa.
Namun apa yang ramai tidak sedar adalah, ketidakselesaan tersebut merupakan isyarat kecemasan yang perlu diberi perhatian, termasuklah cara ikatan rambut yang salah.
Pakai Instant Bun Boleh Jadi Punca Sakit Kepala & Cepat Marah
Walaupun pemakaian instant bun ini sudah dianggap sebagai salah satu fesyen zaman kini, namun tren tersebut mampu memudaratkan kesihatan seperti sakit kepala mekanikal atau dalam sudut kesihatan dipanggil sebagai external traction headache.
Menurut Dr Nurulasyikin, rambut manusia tidak mempunyai saraf. Oleh disebabkan itu, sebarang bebanan pada bahagian kepala akan ditanggung oleh tisu lembut pada kulit kepala dan berpotensi menyebabkan ia mengalami keradangan.
“Bila sakit kepala dah datang, kita jadi mudah nak marah, lepas tu kita ingat ada masalah stres rupanya anak tudung kita boleh mainkan peranan apatah lagi bila ada tambahan seperti instant bun ini,” katanya.
![Image from: Selalu Pakai Sanggul Palsu Dalam Tudung? Ini Risiko Menurut Pengamal Terapi Holistik [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/sanggul-fake.jpg)
Kepala Juga Berisiko Untuk Botak Jika Memakai Sanggul Palsu Dalam Tempoh Masa Lama
Apa yang lebih membimbangkan, bebanan pada rambut selepas memakainya selama seharian juga mampu membawa kepada risiko botak.
Instant bun ni ia terletak dalam tudung, akan ada extension tambahan. Bila bahagian sanggul itu membesar, ia akan menarik bahagian rambut di tepi, atas jadi gigi-gigi rambut kita ni akan terkesan sekali walaupun ia (instant bun) tidak disambung di rambut.
Pengamal terapi Holistik di Saffron, Dr Nurulasyikin
Postur Kepala Terkesan Akibat Tekanan Daripada Instant Bun, Lebih Parah Boleh Lumpuh
Berbicara dari sudut fizik pula, Dr Nurulasyikin berkata berat daripada instant bun itu akan memberi tekanan mikro kepada kepala lebih-lebih lagi jika ia dipakai selama berjam-jam sekaligus menyebabkan punca stres.
Dalam masa sama, bebanan itu boleh menyebabkan postur kepala beralih sebagai contoh sedikit belakang akibat berat di bahagian belakang kepala.
“Jadi kita tak sedar pada waktu tu, otot leher dan bahu kita ni terpaksa bekerja dua kali ganda lebih keras untuk seimbangkan balik berat (instant bun).
“Kalau kita duk gerakkan kepala kanan, kiri untuk berbual lagilah kita bawa tekanan tu. Lagi teruk kadangkala rasa lenguh, rasa macam tak sedap di bahagian tangan serta lengan sebab dia berkait dengan bahagian cervical (tulang belakang leher) kita dekat belakang,” ulasnya.
Katanya lagi, jika tidak dikendalikan dengan sebaiknya, tulang belakang leher itu boleh menjadi lumpuh.
@dr.asyikin Sanggul instant bun cantik vs potensi botak
Tonton video penuh [DI SINI].
Bahan Kimia Dari Sanggul Palsu Boleh Menyebabkan Iritasi
Kalau anda perasan sanggul palsu ini dijual dalam pelbagai bentuk bahan. Ada fabrik dan ada juga yang menggunakan bahan sintetik seperti plastik.
Jika plastik itu terperap dalam bahagian tudung berjam-jam lamanya, ia akan menyebabkan haba, sekaligus menyebabkan anda cepat berpeluh. Ia kemudiannya akan menyebabkan iritasi sekiranya peluh itu bercampur dengan bahan kimia seperti pewarna dari sanggul tersebut.
![Image from: Selalu Pakai Sanggul Palsu Dalam Tudung? Ini Risiko Menurut Pengamal Terapi Holistik [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/Sanggul-Palsu-Boleh-Bawa-Risiko-Botak-Iritasi-Sakit-Kepala-Ini-Penjelasan-Pengamal-Terapi-Holistik-1.jpg)
Tak Perlu Sakit Untuk Cantik – Dr Nurulasyikin
Akhirnya, bahan berasid itu berisiko memasuki liang-liang pori manusia.
“Macam ni la. Kecantikan sebenar kita ni tidak sepatutnya menyeksa biologi badan. Kita boleh tampil kemas dan elegan. Tapi tak perlulah mengorbankan kesihatan kulit kepala. Sebab disitulah terletak kepala untuk kira berfikir dengan waras,” ujarnya.
Jangan Salah Faham, Pakai Tudung Masih Penting Tetapi Bukan Dengan Kombo Instant Bun
Meskipun begitu, beliau tidak menafikan kepentingan pemakaian tudung kerana menurutnya, hijab itulah yang melindungi rambut seseorang daripada kerosakan radiasi, sinaran UV, habuk dan pencemaran persekitaran.
Namun adalah sebaiknya untuk tidak menambah pemakaian instant bun pada tudung sedia ada.
Baca Artikel Berkaitan: “Haram Tetap Haram” – Wanita Ingatkan Para Hijabis Tentang Hukum Pakai Sanggul Fake
