'Selamat hari lahir abah, saya sudah belajar menerima…' – Ucapan Syada Azmah buat ND Lala undang sebak

LocalFamily & Parenting
10 Apr 2026 • 12:32 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

BUKAN sekadar ucapan hari lahir, tetapi satu luahan yang membawa sekali cerita panjang sebuah hubungan keluarga yang pernah melalui fasa sukar.

Itu yang dikongsikan penyanyi Syada Amzah apabila menitipkan ucapan buat bapanya, ND Lala sempena ulang tahun kelahiran ke-65.

Di sebalik nada tenang itu, terselit rasa seorang anak yang kini memilih untuk berdamai dengan takdir.

Menerusi hantaran di Instagram, Syada meluahkan bahawa dirinya kini semakin belajar untuk berdamai dengan takdir dan menerima hakikat bahawa ada perkara dalam hidup yang tidak lagi akan kembali seperti dahulu.

Tambah pemilik nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah itu, apa yang lebih penting buat dirinya kini adalah mencari ketenangan dan menghargai hubungan yang masih ada.

image is not available

“Selamat hari lahir, abah. Saya sudah belajar untuk menerima bahawa ada perkara dalam hidup yang tidak lagi akan kembali seperti dahulu, dan itu tidak mengapa (maaf kerana saya mengambil masa terlalu lama untuk memahaminya).

"Namun, apa yang lebih penting bagi saya sekarang adalah mencari ketenangan dengan keadaan kita hari ini, dan menghargai masa yang masih kita ada,” tulisnya.

Dalam nada yang sama, pelantun lagu Hasrat itu turut berharap hubungan kekeluargaan itu dapat terus dipelihara walaupun pernah melalui pelbagai fasa kehidupan.

“Selagi kita masih di sini, saya hanya berharap kita dapat terus menjaga hubungan ini dengan lembut, penuh hormat, dan dipenuhi dengan seberapa banyak detik indah yang mampu kita kongsikan," ungkapnya.

Syada pada masa sama turut menitipkan doa ayahnya terus dikurniakan kesihatan yang baik.

"Saya mendoakan agar abah sentiasa diberikan kesihatan yang baik, ketenangan hati serta kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang,"kongsinya lagi.

image is not available

Untuk rekod, ND Lala pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pelakon Fauziah Sarman pada tahun 1989 sebelum berpisah selepas lebih 30 tahun bersama.

Bekas isterinya kemudian mendirikan rumah tangga baharu dengan Zainal pada November tahun lalu.

Syada merupakan adik kepada penyanyi popular Shila Amzah yang cukup dikenali dalam industri muzik tanah air.