'Selamat hari lahir mama, rindu!' - Cuba trend pakai baju mak, perkongsian Fadhlina Siddiq sarung kurung pink arwah ibu bikin sebak

Women's FashionLifestyle
19 May 2026 • 10:07 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Selamat hari lahir mama, rindu!' - Cuba trend pakai baju mak, perkongsian Fadhlina Siddiq sarung kurung pink arwah ibu bikin sebak

SEBUT sahaja pasal trend fesyen, memang cepat betul berputar. Kejap-kejap gaya 90-an kembali, kejap-kejap gaya vintage pula yang jadi buruan.

Terbaharu, kalian perasan tak ada satu trend unik tengah melanda media sosial sekarang? Ramai anak muda mula 'menyelongkar' almari baju lama dan melaram semula dengan busana zaman mak-mak kita dulu.

Rupa-rupanya, 'demam' trend itu turut menarik perhatian Menteri Pendidikan kita, Fadhlina Siddiq, yang sempat berkongsi satu coretan yang cukup menyentuh emosi di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

Niat di hati beliau mungkin sekadar mahu mencuba gelombang fesyen semasa, namun lain pula jadinya apabila helaian kain tersebut menyentuh kulit.

Melalui perkongsian itu, Fadhlina mendedahkan pandangannya tentang trend tersebut yang kelihatan menarik pada awalnya.

"Saya dimaklumkan ada trend baharu. Memakai semula baju mak-mak kita, kembali ke zaman mereka.

"Corak dan warna zaman mereka memang menekan-nekan ya!" tulis beliau secara santai, menggambarkan keunikan estetik fesyen era terdahulu yang sememangnya mempunyai aura tersendiri.

Namun, coretan tersebut bertukar menjadi sebuah luahan hiba yang sarat dengan kasih sayang seorang anak terhadap insan yang melahirkannya.

Image from: 'Selamat hari lahir mama, rindu!' - Cuba trend pakai baju mak, perkongsian Fadhlina Siddiq sarung kurung pink arwah ibu bikin sebak

Beliau mendedahkan telah mencuba sepasang baju kurung berwarna merah jambu milik allahyarhamah ibunya dengan harapan mahu merasai sendiri trend berkenaan.

"Saya cuba sepasang kurung merah jambu kepunyaan ibu saya. Saya sangka ia memenuhi trend semasa. Saya silap. Saya merindui ibu saya dalam sepasang kurung ini. Terlalu rindu!

"Selamat Hari Lahir Mama! Rindu! Al-Fatihah," luah beliau.

Ternyata, sepasang baju kurung merah jambu itu bukan lagi sekadar trend, tetapi sebuah mesin masa yang menghantar rasa rindu yang tidak tertanggung.

Bagi seorang anak yang telah kehilangan, pakaian yang ditinggalkan oleh ibu bukan sekadar kain biasa. Ia menyimpan bauan, memori, hangat pelukan, dan setiap ruang kenangan masa lalu yang tidak akan mungkin kembali.

Menyarung kembali baju tersebut akhirnya membuatkan diri terasa seolah-olah sedang dipeluk kembali oleh seorang ibu.

Perkongsian ringkas namun mendalam daripada Fadhlina ini benar-benar menjentap emosi warga maya dan mengajar kita semua tentang nilai sebuah kerinduan.

Sejauh mana pun kita mengejar trend dunia, tiada apa yang dapat menandingi nilai kasih sayang seorang ibu.

Buat pembaca, jika ibu bapa korang masih ada, jenguklah dan peluklah mereka sepuas-puasnya hari ini sebelum baju-baju di dalam almari itu bertukar menjadi sekadar pakaian kenangan.

Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat allahyarhamah ibu kepada Fadhlina Siddiq, semoga rohnya dicucuri rahmat.